mutakhir

Disiplin tinggi

Oleh Ayusliza Azizan

Subang: Mengamalkan disiplin tinggi menjadi prinsip dipegang Pegawai Waran Udara 1 Muhamad Hazan Abadullah, 43, yang menerima anugerah ‘Airman of the Year’ bagi kategori Pegawai Waran Udara di Majlis Anugerah Kecemerlangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) 2016, di sini, semalam.

Anak kelahiran Meru, Klang itu turut menjadikan lima nilai teras TUDM iaitu integriti, keberanian, kecemerlangan, setiakawan serta mengutamakan perkhidmatan sebagai pegangan sepanjang 22 tahun berkhidmat.

“Ini anugerah tertinggi yang pernah diterima sejak berkhidmat pada 1995, sebelum ini saya pernah menerima anugerah perkhidmatan cemerlang,” katanya.

Muhamad Hazan yang turut mahir dalam bidang pemusnah bahan letupan serta mampu mengendalikan alat pemusnah adalah jurulatih dalam bidang persenjataan.

Bapa kepada empat anak berusia dari lima hingga 15 tahun itu berkata, di sebalik kejayaannya itu, isteri, Nor Hashima Abdul Majid, 38, adalah tulang belakang yang sentiasa mendorong serta sering meniup kata-kata semangat kepadanya.

Katanya, dia tidak menjangka terpilih menerima anugerah berkenaan dan berharap ia menjadi contoh dan pembakar semangat kepada anggota lain untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik.

Selain Muhamad Hazan, turut menerima anugerah ‘Airman of the Year’ ialah Sarjan Udara Abdul Rahman Sidek bagi kategori Flait Sarjan/Sarjan Udara dan Koperal Udara Anuar Sanuri (Kategori Koperal dan ke bawah).

Majlis disempurnakan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Roslan Saad.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Datuk Seri Affendi Buang.

Disiarkan pada: December 7, 2016 @ 10:09am
d