mutakhir

'Dah sedia, tak takut pun' [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: “Saya sudah bersedia dan tidak takut pun,” kata Fathuddin Iskandar, 5, seorang daripada 35 kanak-kanak yang menyertai Program Berkhatan anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Kelantan, di sini, semalam.

Fathuddin yang ditemani ibunya, Nurhidayah Abdullah, 39, kelihatan bersemangat dan teruja untuk bersunat meskipun dia adalah peserta paling muda dalam program itu.

Katanya, dia tidak takut berkhatan kerana melakukannya dengan ramai kawan.

“Lagipun, dua abang yang berumur lapan dan sembilan tahun tidak pernah menakutkan saya. Mereka selalu beri semangat supaya saya berani.

“Jadi, saya mahu buktikan saya tidak gentar. Mereka pun datang untuk sokong saya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Asrama Putera Harapan, Pengkalan Chepa, dekat sini.

Program dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan (YAATIM) disertai kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun dan dirasmikan oleh Pengerusi PBSM Kelantan Tuan Ghazali Tuan Long.

Terdahulu, kanak-kanak berkenaan disiram dengan pancutan air oleh bomba sebelum dibawa ke Pusat Rawatan Komuniti Pengkalan Chepa untuk dikhatankan.

Sementara itu, Tuan Ghazali berkata, kanak-kanak yang menyertai program berkhatan ini terdiri daripada anak yatim dan anak kakitangan Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Taman Sabariah serta Kelab Kebajikan Asnaf Negeri Kelantan.

Katanya, peserta tidak dikenakan sebarang bayaran kerana pihaknya mendapat penajaan daripada Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan Pusat Rawatan Komuniti.

“Program seperti ini seharusnya diadakan selalu terutamanya setiap cuti sekolah kerana selain menjadi tuntutan Islam, ia juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim,” katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2016 @ 10:12am
d