mutakhir

Padah bunyikan hon

Oleh Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Tindakan seorang ejen hartanah membunyikan hon dipercayai menjadi punca kereta dipandu dilanggar secara mengundur oleh kenderaan utiliti sukan (SUV) Mitsubishi Pajero, di Jalan Istana, di sini, kelmarin.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang juga wanita berusia 25 tahun dalam perjalanan pulang dari tempat kerja kira-kira jam 6 petang.

Katanya, mangsa dikatakan memandu kereta Honda Civic dari Cheras menghala ke Damansara Perdana, Petaling Jaya.

“Apabila tiba di Jalan Istana, sebuah SUV berwarna putih dipandu lelaki menghentikan kenderaannya di tengah jalan dan menghalang laluan.

“Mangsa membunyikan hon supaya pemandu kenderaan terbabit meneruskan perjalanan. Bagaimanapun, pemandu kenderaan itu bertindak mengundurkan kenderaan dan melanggar kereta mangsa sebelum beredar,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan kereta mangsa rosak pada bahagian lampu hadapan sebelah kiri, bumper dan bonet hadapan.

Katanya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sri Hartamas jam 7.08 malam.

“Mangsa turut menyerahkan rakaman video yang dirakamkan kamera diletakkan di dalam kenderaannya,” katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2016 @ 9:27am
d