mutakhir

Bukan sekadar contoh

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Kementerian Kerja Raya (KKR) perlu menjadi aspirasi serta ejen pengubah dalam industri pembinaan dan bukan sekadar terbabit dengan bidang teknikal.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, KKR perlu menunjukkan contoh dan kaedah digunakan dalam pembinaan supaya mencapai apa saja Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan termasuk dari segi penggunaan teknologi, kesan rumah hijau dan sebagainya.

Beliau berharap KKR bukan sekadar menjadi contoh dalam pembinaan struktur bangunan berkonsepkan teknologi hijau dalam negara, tetapi mampu mengeksport kepakaran itu ke luar negara.

“Apabila menyentuh teknologi hijau ini, ia berkait dengan aplikasi produk dan sistem untuk memelihara alam sekitar serta semula jadi dan mengurangkan kesan negatif hasil daripada aktiviti manusia.

“Justeru, usaha KKR dalam merintis pembangunan berkonsepkan teknologi hijau dan kecekapan tenaga ini bertepatan dengan keperluan serta kehendak semasa dan akan datang,” katanya ketika berucap merasmikan Menara Kerja Raya, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Timbalannya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Menara Kerja Raya di Jalan Sultan Salahuddin, di sini, setinggi 37 tingkat yang berharga RM309 juta itu siap dibina dalam masa 130 minggu pada 15 April tahun lalu.

Reka bentuk bangunan berkonsepkan berlian di bandar itu menggunakan fasad kaca segi tiga sebagai tarikan utama, manakala struktur bangunan pula dibina melengkung dengan pembinaan 20 tiang utama yang sentiasa condong dua hala dari aras plaza hingga aras 37.

Najib berkata, pembinaan menara itu menjadi mercu tanda ikonik apabila mendapat pelbagai pengiktirafan dalam dan luar negara antaranya dinobatkan menara baru ke-10 terbaik di dunia oleh majalah Business Insider United Kingdom keluaran Oktober 2015 dan memperoleh penarafan Indeks Bangunan Hijau (GBI) tahap platinum sekali gus menjadi bangunan pertama kerajaan diberi persijilan itu.

Menurutnya, semua pengiktirafan itu bukan saja menunjukkan tahap kualiti tinggi, tetapi juga status mesra alam dalam pembinaan sekali gus membuktikan kesungguhan kerajaan melaksanakan pembangunan lestari.

“Hakikat kejayaan ini selaras dengan aspirasi kerajaan meletakkan penjagaan alam semesta dan penjagaan mampan untuk menjadi negara maju sesuai dengan hasrat Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang menetapkan setiap pembangunan dilaksanakan sektor awam mahupun swasta mesti berlandaskan konsep mesra alam dan pembangunan lestari.

“Berdasarkan kepada pencapaian setakat ini, saya yakin negara akan mencapai 40 peratus pengurangan pelepasan karbon atau gas rumah rumah hijau menjelang 2020,” katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2016 @ 9:39am
d