mutakhir

Ramai kini suka swafoto!

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: Sikap malas membuka kamus bahasa Melayu (BM) antara punca mengapa sesetengah perkataan bahasa Melayu masih janggal digunakan dalam kehidupan seharian masyarakat negara ini walaupun sudah wujud sejak beberapa tahun lalu.

Pakar rujuk bahasa Melayu, Ismail Dahaman berkata, memburukkan lagi situasi apabila walaupun sudah tahu perkataan yang betul, masyarakat lebih gemar mempraktikkan perkataan bahasa Inggeris (BI) hingga ia sebati dan menenggelamkan bahasa kebangsaan.

“Contohnya, perkataan swafoto dalam BM direka bagi menggantikan perkataan selfie dalam BI mengikut sistem pembentukan perkataan dalam bahasa Melayu itu sendiri.

“Selfie diambil daripada perkataan BI iaitu self bermaksud sendiri dan dalam BM pula sendiri itu seperti kendiri atau swa maka sebab itu swa digabungkan dengan foto (gambar) jadi terbentuklah perkataan swafoto,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membentangkan kertas kerja pada Muzakarah Munsyi Dewan 2016 di Dewan Bahasa Pustaka (DBP), di sini, semalam.

Ismail yang juga bekas Pengarah Jabatan Bahasa DBP berkata, antara perkataan lain dalam BM yang lama wujud, tetapi tidak digunakan secara meluas termasuk suri teladan (role model), jerayawara (road show), tular (viral) dan gegantung (bunting).

“Jerayawara terhasil daripada gabungan perkataan jeraya mengikut Bahasa Melayu Sarawak yang bermaksud jalan raya manakala wara adalah pertunjukan atau sandiwara.

“Viral pula sebenarnya kata sifat bagi virus yang bermaksud merebak, jadi sepatutnya dalam bahasa Melayu viral itu digantikan dengan tular, atau tularan, menular bergantung pada ayat,” katanya.

Beliau yang pernah berkhidmat 30 tahun di DBP sejak 1968 berkata, masyarakat tidak sepatutnya berasa janggal untuk menggunakan perkataan terbabit sekiranya dijadikan rutin seharian.

“Masalahnya jadi janggal bila kita tidak praktikkan kononnya tidak moden atau menarik sedangkan puncanya kita malas buka kamus atau berfikir dalam bahasa Melayu.

“Kita lebih suka ambil mudah dengan meniru apa saja perkataan bahasa Inggeris yang juga pada awalnya janggal, tetapi menjadi kebiasaan apabila kerap digunakan,” katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2016 @ 10:22am
d