mutakhir

Lima sekawan pakat lari

Oleh Zulfa Mohamad

Tasek Gelugor: Lima pelatih Klinik Care & Cure (CCRC) Kampung Selamat, dekat sini, mengambil kesempatan ketika pelatih lain mengerjakan solat Subuh untuk melarikan diri, pagi semalam.

Pelatih berkenaan dikatakan meloloskan diri dengan memanjat pagar bahagian belakang pusat pemulihan berkenaan kira-kira jam 6 pagi.

Bagaimanapun, tindakan mereka yang berusia antara 25 hingga 39 tahun itu disedari pengawal sebelum memaklumkan kepada pihak pengurusan.

Menurut sumber, pelatih berkenaan yang baru ditempatkan di pusat itu sebulan lalu dipercayai berpakat melarikan diri.

“Mereka dipercayai memanjat pagar belakang pusat pemulihan dan pemeriksaan mendapati ada kesan darah dipercayai milik pelatih yang tercedera terkena pagar,” katanya.

Pelatih yang dikenal pasti melarikan diri ialah Bukhari Yusof, 39, Hairol Hisam Abdul Hamid, 37, dan Muhammad Khairul Hafiz, 29, dari Langkawi, Kedah manakala dua lagi, Mohd Ariff Mohd Maamor, 25, dari Alor Setar, Kedah dan Mohd Zuhairi Azrin Mohd Zuki, 30-an, dari Pokok Sena, Kedah.

Difahamkan, gerakan memburu pelatih berkenaan sedang giat dijalankan dengan bantuan polis dan mereka dipercayai bersembunyi dalam ladang kelapa sawit berhampiran pusat berkenaan.

Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai pelatih terbabit diminta menghubungi Bilik Gerakan CCRC di talian 04-5733584 atau 04-5733605.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Keselamatan CCRC Kampung Selamat Nasru’din-din Abdul Rahman mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Disiarkan pada: December 8, 2016 @ 10:31am
d