mutakhir

Nasib malang 'si ulat' pujuk naik kereta sapu

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Penyamaran dilakukan penguat kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 22 tahun yang menjalankan kegiatan ‘ulat teksi’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), jam 7 pagi kelmarin.

Lelaki terbabit ditahan selepas memujuk dua wanita yang baru tiba di KLIA untuk menggunakan perkhidmatannya.

Jurucakap SPAD berkata, lelaki terbabit turut menawarkan tambang RM50 bagi perjalanan ke Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor.

“Anggota kami kemudiannya memperkenalkan diri sebelum membuat pemeriksaan selain menyoal siasat lelaki serta dua wanita berkenaan.

“Kedua-dua wanita itu mengakui lelaki terbabit menawarkan tambang RM50 untuk perjalanan ke Hotel Sri Langit di Bandar Baru Salak Tinggi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut beliau, lelaki itu serta Proton Saga dipandunya dibawa ke Pejabat SPAD di Putrajaya untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 205 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

“Kegiatan ini semakin berleluasa, malah kami turut mendapat aduan daripada pemandu teksi yang tidak puas hati dengan sikap ulat teksi,” katanya.

Disiarkan pada: December 9, 2016 @ 9:22am
d