mutakhir

Nikmat bebas timba ilmu

Oleh Siti Fatimah Hassan dan Fazurawati Che Lah

Ampang: Keadaan di sebuah premis di Taman Lembah Maju, di sini, agak suram dan sunyi ketika wartawan membuat kunjungan melihat rutin anak-anak Rohingya.

Wartawan dibawa naik ke tingkat dua premis terbabit yang menempatkan sebuah pusat pendidikan tidak formal untuk kanak-kanak itu yang beroperasi sejak 2009.

Seperti sekolah harian biasa, Pusat Pendidikan Muhajirin Rohingya Perkim memberi pendidikan al-Quran dan sunnah, bahasa Melayu, bahasa Inggeris, sains dan matematik dan kini mempunyai tiga kelas terdiri daripada 84 kanak-kanak berusia tujuh hingga 17 tahun.

Kami yang tiba di situ jam 1.30 tengah hari sempat melihat perjalanan kelas apabila semua kanak-kanak dilatih solat berjemaah sambil diawasi dua guru etnik Rohingya.

Ia kehidupan sehari-hari yang dilalui semua kanak-kanak berkenaan untuk menimba ilmu, sekurang-kurangnya mendapat pendidikan asas seperti membaca, menulis dan mengira berbanding generasi sebelumnya yang dikatakan 80 peratus buta huruf.

Wartawan dimaklumkan, antara pelajar pintar di sekolah berkenaan ialah Muhd Asyraf Muhd Ansari, 14, apabila dia sentiasa mendapat markah cemerlang di dalam kelas.

Menurut Muhd Asyraf, dia yang dilahirkan dan membesar di negara ini amat bersyukur kerana dapat menikmati kebebasan terutama tidak ada mana-mana pihak yang menyekat mereka menimba ilmu.

Malah katanya, dia tidak mahu melepaskan peluang pendidikan yang disediakan walaupun ia mungkin tidak sempurna seperti di sekolah harian biasa.

“Saya amat gembira dapat belajar di Malaysia dan mempunyai ramai kenalan di sini yang sama-sama berminat untuk belajar.

“Sesi kelas setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 3 petang dan kami turut belajar beberapa subjek di sini. Setiap tahun, kami menduduki peperiksaan dan saya sentiasa mendapat tempat kedua,” katanya.

Difahamkan, semua 84 murid dan pelajar dipecahkan kepada tiga kelas dan sehingga kini ada 128 kanak-kanak pernah bersekolah di situ.

Premis rumah kedai itu mempunyai dua bilik dan di ruang tamu ditempatkan dua rak bahan bacaan serta naskhah al-Quran.

Segalanya dilakukan dalam serba kekurangan, tetapi raut wajah mereka menggambarkan rasa syukur tidak terhingga kerana nasib pelarian tidak dialami sendirian malah mendapat perhatian pelbagai pihak.

Anisa Zakaria, 12, pula berkata dia berjalan 25 minit pergi dan balik ke sekolah pada setiap hari dari rumahnya di Lembah Maju, di sini.

“Biasanya saya keluar rumah jam 7 pagi dan berjalan kaki beramai-ramai dengan rakan lain. Saya seronok kerana berpeluang ke sini belajar dan mengenali rakan baru,” katanya.

Disiarkan pada: December 9, 2016 @ 9:49am
d