mutakhir

Pingat emas

Oleh Helmy Abd Rahman dan Baharom Bakar

Kuala Nerus: Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Intan Zaharah di Dungun, Nazrul Adrian Abdullah dan bekas pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit, Wan Nur Liyana Wan Mohamad Asri dipilih menerima Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu (YT).

Dengan pemilihan itu, kedua-dua pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu berkenaan menerima wang tunai RM5,000, pingat emas bernilai RM500, sehelai baju (RM400) dan komputer riba.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Khairiah, Normelisa Mohd Yadi pula calon tunggal menerima Anugerah Khas YT untuk menerima wang tunai RM5,000.

Anugerah dan hadiah kepada mereka itu disampaikan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman di majlis Anugerah Pingat Emas YT Kali Ke-37 dan Anugerah Sarjana Terengganu 2016, di sini, semalam, yang turut dihadiri Pengarah YT Mohamad Sulong.

Mohamad ketika berucap di majlis itu berkata, kerajaan negeri melalui YT membelanjakan RM626,000 untuk hadiah kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun lalu.

Menurutnya, selain anugerah utama itu turut menerima imbuhan 31 pelajar yang mengikuti kursus ikhtisas iaitu membabitkan bidang sains tulen, sains gunaan, sains perubatan dan pergigian apabila dikurniakan Anugerah Sarjana sekali gus menerima wang tunai berjumlah RM5,000 setiap seorang.

Disiarkan pada: December 11, 2016 @ 5:12am
d