mutakhir

55 pegawai, 1,566 anggota terbabit perbarisan penghargaan

Seramai 55 pegawai dan 1,566 anggota lain-lain pangkat terbabit dalam perbarisan penghargaan Panglima Tentera Darat (PTD) ke-25, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, semalam.

Perbarisan itu antara lain bagi menghargai sumbangan Raja Mohamed Affandi yang akan menjawat jawatan Panglima Angkatan Tentera berkuat kuasa 16 Disember ini.

Perbarisan diketuai Leftenan Kolonel Qadri Abu Bakar membabitkan 17 kontinjen daripada semua rejimen dan kor tentera darat serta 10 Briged Para dan 21 Grup Gerak Khas.

Ia turut disertai sebuah pesawat Nuri dari Rejimen 882 Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dan dua Agusta A109 daripada Rejimen 881 PUTD.

Buat julung kalinya dalam sejarah Tentera Darat (TD), acara pemakaian lencana formasi taktikal kepada pemerintah formasi serta penyerahan skrol replika lambang formasi taktikal turut diadakan.

Menurut Raja Mohamed Affandi, perbarisan kali ini antara yang terbaik kerana melambangkan kesatuan dalam TD.

Hadir sama Timbalan Panglima TD Leftenan Jeneral Datuk Seri Panglima Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima Medan Barat TD Leftenan Jeneral Datuk Zulkiple Kassim dan Panglima Medan Timur TD Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar.

Disiarkan pada: December 11, 2016 @ 5:13am
d