mutakhir

Sukan tradisi warnai Pesta Pantai Langkawi

Langkawi: Sukan tradisi seperti pukul bantal, tarik tali berperahu, kayak pecut dan panjat tiang licin antara 20 acara yang mewarnai kemeriahan Pesta Pantai Langkawi (PPL) selama dua hari bermula kelmarin, di Jalan Pantai Tanjung Rhu, di sini.

Kira-kira 3,000 pengunjung membanjiri pesta berkenaan yang berakhir lewat petang semalam dengan penyertaan komuniti tempatan mewakili enam mukim di pulau ini.

Lebih menarik pesta kali ketiga yang bercorak pertandingan bagi merebut Piala Pusingan Menteri Besar Kedah itu turut mendapat penyertaan pasukan dari Wilayah Satun dan Songkla, Thailand, Filipina dan Britain.

Majlis perasmian disempurnakan Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC), Hussin Moh mewakili Timbalan Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Rashidi Hasbullah.

Hadir sama, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid dan Timbalan Gabenor Satun, Thailand, Sorradat Suntrachun.

Ketika ditemui, Hussin berkata, pesta yang turut mendapat penyertaan antarabangsa itu diyakini mampu meningkatkan kedatangan pelancong ke negara ini dan sebaiknya dijadikan acara tahunan dengan penyertaan berskala besar.

“Untuk itu, penganjur boleh memulakan program promosi mulai sekarang untuk menarik penyertaan dari dalam dan luar negara bagi penganjuran acara sama pada tahun hadapan,” katanya.

Mohd Rawi pula berkata, semua acara tradisi itu diberi nafas baru sebagai identiti pesta berkenaan.

Katanya, acara lain antaranya maraton, sepak raga tuju, badang Langkawi, dayung chew, sukaneka, pertandingan melukis dan pameran turut mendapat perhatian pengunjung terdiri pelbagai lapisan masyarakat.

“Kemeriahan turut dirasai menerusi acara Tanjung Rhu Swimfest anjuran sebuah syarikat swasta yang disertai lebih 100 peserta dan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu dua, empat serta enam kilometer,” katanya.

Disiarkan pada: December 12, 2016 @ 11:01am
d