mutakhir

Janji sudah dikota

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Peningkatan skor dalam pentaksiran antarabangsa Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA) membuktikan Kementerian Pendidikan mengotakan janji ketika menghasilkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Sambil menegaskan murid bukan bahan eksperimen, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, setiap yang dilaksanakan kementerian sudah melalui proses perancangan membabitkan pakar pendidikan dan sesi pembabitan awam seperti yang dinyatakan dalam PPPM.

“Kita berjanji akan meningkatkan soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran.

“Kita sudah melakukannya dan hasilnya kejayaan peningkatan skor yang membanggakan dalam TIMSS dan PISA,” katanya menerusi penulisan dalam portal rasmi Menteri Pendidikan iaitu portal.tokdet.my.

Dalam laporan TIMSS yang diumumkan 29 November lalu, Malaysia mencatatkan skor Sains sebanyak 471 mata dan Matematik 465 mata, berbanding 426 bagi Sains dan 440 bagi Matematik pada TIMSS 2011.

Sementara itu, Malaysia turut mencatatkan peningkatan membanggakan dalam PISA yang diumumkan 6 Disember lalu dengan skor domain Saintifik meningkat daripada 420 mata pada 2012 kepada 443 mata pada 2015; skor domain Bacaan melonjak daripada 398 mata (2012) kepada 431 mata manakala domain Matematik menyaksikan peningkatan daripada 421 mata (2012) kepada 446

Mahdzir berkata, peningkatan skor itu juga menunjukkan usaha untuk menyediakan kanak-kanak negara ini untuk masa depan sudah mula menampakkan hasil awal.

“Setiap kali saya nyatakan dalam mana-mana sesi dengan pihak berkepentingan, kita seharusnya memandang jauh ke hadapan dan menyediakan prasarana kepada anak-anak pada hari ini.

“Kalau 10 tahun akan datang kita akan memandu kereta terbang, murid yang akan mereka cipta, menghasil dan membaikpulih kereta itu kini berada di sekolah kita.

“(Jadi) di sekolah sekarang kita perlu menyediakan mereka dengan kemahiran dan nilai yang relevan untuk mereka menjadi warganegara yang dapat menyumbang kepada kejayaan negara,” katanya.

Mahdzir berkata, PPPM menyatakan dengan jelas aspirasi sistem pendidikan negara untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa mengikut pengukuran TIMSS dan PISA dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Menurutnya, bagi mencapai matlamat ini, kementerian menjadikan Kemahiran Berfikir sebagai satu Aspirasi Murid yang perlu diterapkan kepada anak warganegara melalui sistem pendidikan.

“Setiap murid akan belajar cara memperoleh ilmu pengetahuan sepanjang kehidupan mereka melalui penerapan perasaan ingin tahu dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat untuk membolehkan mereka menghubungkan pelbagai disiplin ilmu dan mencipta ilmu baharu.

“KBAT yang diterapkan dalam PdP serta pentaksiran dapat memastikan murid kita dapat bersaing di peringkat global,”katanya.

Katanya, pemimpin mahasiswa yang belajar di luar negara yang ditemui beliau pada Perhimpunan Agung UMNO turut mengakui kemahiran berfikir aras tinggi, kemahiran komunikasi atau berbahasa, pelbagai kemahiran kognitif termasuk penaakulan dan pemikiran kritis, kreatif, serta inovatif bagi mengaplikasi ilmu pengetahuan dan berfikir secara kritis termasuk di luar konteks akademik amat penting untuk diadaptasi dalam kehidupan sebagai seorang penuntut.

Mahdzir turut menjelaskan sistem pendidikan negara kini berada pada landasan yang betul kerana kementerian meletakkan asas yang kukuh melalui penerapan Enam Aspirasi Murid kepada murid dan pelajar.

Katanya, beliau sentiasa memastikan inisiatif yang dirancang dilaksanakan dengan rapi di semua peringkat.

Disiarkan pada: December 12, 2016 @ 11:09am
d