mutakhir

Henti buat kacau-bilau

Oleh Ayusliza Azizan

Klang: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu kelompok yang berselindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta cuba menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat menghentikan perbuatan yang boleh mewujudkan suasana kacau-bilau sekali gus menggugat kestabilan dan keselamatan negara.

Baginda bertitah, tindak-tanduk pihak yang tidak disenangi itu hendaklah dihentikan tanpa sebarang kompromi demi memberi keyakinan kepada rakyat, pelancong asing dan pelabur dari luar negara.

“Adalah menjadi hasrat Beta untuk melihat rakyat Selangor yang berbilang kaum ini, terus menyemarakkan semangat setia kawan, bertolak ansur serta saling hormat-menghormati, khususnya dalam aspek perkauman, keagamaan dan ideologi politik.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, terdapat ruang untuk rakyat menyuarakan pendapat dan memberi pandangan tanpa perlu melanggar peruntukan undang-undang sedia ada,” titah baginda pada Istiadat Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor sempena ulang tahun keputeraan yang ke-71 Sultan Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini, semalam.

Baginda berharap, rakyat dapat mengelakkan diri daripada terbabit dengan perkara yang boleh mengancam ketenteraman awam, keharmonian kaum dan keselamatan negara tanpa sebarang alasan.

Dalam pada itu, Baginda turut berpesan institusi agama Islam di negeri itu seperti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dihormati serta disanjung.

Baginda menyeru semua pihak memainkan peranan bagi memelihara imej dan kredibiliti MAIS serta JAIS supaya tidak tercalar dan tercemar akibat campur tangan dan penyalahgunaan kuasa pihak tertentu demi kepentingan politik sempit.

Baginda bertitah, penyalahgunaan kuasa bukan saja boleh menjejaskan imej pegawai serta kakitangan MAIS dan JAIS, tetapi merendahkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi berkenaan sebagai tunjang yang menjaga ummah dan syiar Islam serta tidak terikat dengan mana-mana ideologi politik.

Justeru, baginda berhasrat MAIS dan JAIS terus berkembang dan diperkasakan selari dengan peranan serta tanggungjawabnya untuk mentadbir institusi agama Islam di negeri itu.

“Beta berharap isu sensitif yang menyentuh hal agama dan kepercayaan sesuatu kaum, haruslah ditangani dengan bijaksana oleh semua pihak, bagi mengelak salah faham,” titah Baginda.

Disiarkan pada: December 12, 2016 @ 11:12am
d