mutakhir

'Mahu berpantang bersama'

Alor Gajah: Rasa takut untuk bersunat lenyap kerana ditemani dua sepupu selain mahu berpantang bersama di rumah nenek. Itu kata Nur Amali Daniel Nor Azli, 8, peserta Program Khatan Beramai-Ramai anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Masjid Tanah, di sini, kelmarin.

“Kalau saya seorang mungkin takut tapi adik dan abang sepupu juga ada sekali, jadi tak takutlah,” kata murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Demang Taha, Masjid Tanah.

Menurutnya, dia teruja untuk berkhatan bersama dua sepupunya, Muhammad Haikal Suhaimi, 9, dan Muhammad Aril Aswad, 7.

Katanya, dia juga tidak sabar unuk merasai sendiri pengalaman berkhatan kerana sebelum ini hanya mendengar cerita rakan yang sudah berbuat demikian.

“Kami memang rapat sejak kecil, jadi bila ada adat besar begini, kami mahu mengalaminya bersama seterusnya menghilangkan rasa takut.

“Lagipun, selepas berkhatan, kami akan tinggal dan berpantang bersama-sama di rumah nenek di Kampung Paya Rumput, di sini, yang pasti memberi pengalaman menarik,” katanya ketika ditemui, kelmarin.

Seramai 71 peserta mengambil bahagian dalam program itu yang dirasmikan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.

Hadir sama, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Melaka, Jefri Munir dan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Putra Datuk Radhuana Salleh.

Nur Amali Daniel berkata, dia gembira dan pengalaman berkhatan itu tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

“Ini pengalaman paling menyeronokkan dan hanya dapat dirasai sekali seumur hidup,” katanya.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, pihaknya memperuntukkan RM40,000 bagi melaksanakan program berkenaan.

“Program ini kita jalankan khas sempena cuti sekolah bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan, sekali gus memeriahkan cuti sekolah kali ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 12, 2016 @ 11:32am
d