mutakhir

'Syukur terpilih dalami Islam'

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: “Sebelum ini saya tak tahu sangat pasal Islam kerana jarang dapat peluang belajar macam ini.

“Tetapi, syukur terpilih dalam kursus ini kerana sekurang-kurangnya ilmu diperoleh dapat dimanfaatkan untuk diri sendiri dan selebihnya untuk orang lain terutama ahli keluarga dan rakan sekampung,” kata saudara baru Sabre Salleh dari Kampung Simoi Baru RPS Betau, Kuala Lipis, Pahang.

Sabre, 24, baru memeluk Islam beberapa bulan lalu sedang menyertai Kursus Intensif Penghayatan Islam (KIPI) anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) cawangan Asrama Darul Falah Perkim (ASDAF) bermula 3 Disember lalu dan dijangka berakhir Sabtu depan.

Menurut Sabre, setakat ini, hanya dia, abang serta adiknya terbuka hati memeluk Islam, manakala darah dagingnya yang lain masih berpegang dengan ajaran nenek moyang mereka.

“Jika boleh memang saya mahu semua ahli keluarga masuk Islam, tetapi saya tahu ia tak boleh dipaksa. Buat masa ini saya cuba menunjukkan contoh dan teladan yang baik.

“Semoga dengan cara ini hati mereka terbuka menerima Islam suatu hari nanti.” katanya ketika ditemui di ASDAF di sini, semalam.

Peserta wanita, Nur Hidayah Pura Abdullah, 43, pula berkata, dia tertarik menyertai KIPI berikutan mahu mendalami lebih banyak perkara mengenai Islam.

“Setiap kali ada kematian di kampung saya, orang luar seperti pejabat agama Kuala Lipis dipanggil menguruskan jenazah.

“Saya harap peluang ini dapat saya gunakan sebaiknya untuk mendalami ilmu pengurusan jenazah dan boleh kendalikan urusan kematian di kampung sendiri selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Pengetua ASDAF Sa’ari Kiban berkata, seramai 22 peserta dari empat perkampungan Orang Asli seluruh negara dipilih menyertai program percuma anjuran bersama Perkim Cawangan ASDAF, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM).

“Program kami lebih fokus memberi kefahaman kepada mereka mengenai asas Fardu Ain, akidah, amalan harian sebagai Islam mahupun aspek kebersihan supaya selari dengan ilmu duniawi,” katanya.

Disiarkan pada: December 13, 2016 @ 9:26am
d