mutakhir

300 berkubang selut [METROTV]

Oleh Mohammad Ishak

Jertih: Pesta Sukan Rakyat D’Baruh yang berlangsung di kawasan bendang Kampung Pondok Paku, Kerandang, di sini, menarik perhatian 300 peserta.

Acara yang diadakan termasuk menangkap ikan, pukul bantal, bola baling, bola jaring, perarakan jentera pembajak, lumba tarik upih dan tangkap itik turut dimeriahkan dengan kehadiran 2,000 penonton.

Semua acara diadakan di petak tanaman padi yang dipenuhi air sekali gus mengundang gelak tawa dalam kalangan peserta serta penonton.

Bertemakan ‘Jom Pakat Kubang Selut’, peserta yang menyertai acara dipertandingkan memerlukan kesabaran dan ketahanan diri kerana terpaksa bermain dalam lumpur.

Program sehari itu membabitkan peserta dari enam kampung sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi dianjurkan Pusat Derah Mengundi (PDM) Kampung Kerandang dan Kampung Tempinis.

Pengerusi penganjur, Mohd Fahami Zakaria berkata, program kali pertama diadakan itu bertujuan mendekatkan generasi muda dengan sukan tradisional dan baharu selain mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk.

Menurutnya, program itu juga diadakan bagi membolehkan peserta serta penonton menghayati suasana kehidupan desa serta kelasakan anak kampung.

Katanya, pihak penganjur juga memilih sukan tradisional dan bermain di kawasan bendang bagi memberi pendedahan kepada generasi muda supaya mereka tidak berasa kotor.

“Sambutan peserta amat menggalakkan dan dapat dilihat peserta terutama golongan muda tidak kekok ketika bermain di bendang yang dipenuhi air dan berselut itu.

“Kami turut merancang untuk menjadikan program ini sebagai acara tahunan dan akan berbincang dengan pihak berkaitan untuk merealisasikannya kerana ia dilihat boleh membantu ke arah perpaduan rakyat,” katanya.

Menurutnya, selain daripada acara di bendang turut diadakan pemeriksaan kesihatan, kem dan ceramah serta tayangan video berkaitan dengan penjagaan kesihatan kepada orang ramai.

Disiarkan pada: December 14, 2016 @ 9:05am
d