mutakhir

Enam nyaris maut kereta terbakar selepas terbabas

Kota Bharu: Enam lelaki nyaris maut apabila kereta Proton Waja dinaiki mereka terbabas dan terbakar dalam kejadian di Jalan Guchil Bayam, di sini, pagi semalam.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira jam 3.40 pagi itu semua mangsa yang berusia 20-an tidak mengalami kecederaan serius.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Azlan Zainal berkata, maklumat seorang mangsa memberitahu kejadian berpunca daripada kegagalan rakannya mengawal kenderaan ketika cuba mengelak sebuah motosikal.

“Dakwanya, akibat itu, kereta dinaiki mereka berpusing dan merempuh tembok pembahagi jalan dan mula terbakar.

“Api bermula di bahagian depan kereta sebelum merebak dengan cepat. Namun semua mereka berjaya selamatkan diri,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd Azlan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu kira-kira jam 3.47 pagi sebelum ke lokasi dengan kekuatan enam anggota dan sebuah jentera.

Beliau berkata, ketika tiba, kenderaan itu sudah 100 peratus terbakar dan kebakaran dapat dikawal dalam tempoh lima minit.

“Punca sebenar kebakaran masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: December 14, 2016 @ 9:06am
d