mutakhir

Pekerja Nepal terjun tingkat satu selamat diri

Kapar: Seorang pekerja warga Nepal terpaksa terjun dari tingkat satu bagi menyelamatkan diri selepas kilang memproses plastik di Taman Industri Meru, di sini, terbakar, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, Jun Bahadur, 38, cedera di kaki kanannya.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, sebelum kejadian kilang berkenaan sedang beroperasi.

“Kilang itu mempunyai 17 pekerja dan hanya mangsa berada di asrama di tingkat atas manakala pekerja lain di tingkat bawah.

“Kebakaran bagaimanapun membabitkan bahagian bawah kilang dan semua mesin memproses plastik musnah,” katanya.

Mohd Sani berkata, bomba mengambil masa hampir sejam bagi memadamkan kebakaran dengan anggaran kerugian RM50,000.

Beliau berkata, pekerja yang cedera dibawa majikan ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, siasatan masih dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian dan tidak menolak kemungkinan kebakaran bermula dari mesin memproses plastik.

Disiarkan pada: December 14, 2016 @ 9:30am
d