mutakhir

Latihan kebakaran perlu kerap diadakan

Kuala Lumpur: Latihan kebakaran perlu kerap diadakan sebagai persediaan menghadapi bencana itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, Hamid Daud berkata, menerusi latihan kebakaran penerangan terperinci langkah yang perlu diambil ketika menghadapi bencana itu dapat diberikan, selain boleh mempraktikkan apa yang diajar.

“Melalui latihan, taklimat keselamatan dapat diberikan sekali gus dapat difahami kakitangan.

“Selain itu, kakitangan dapat mempraktikkan cara untuk menyelamatkan diri ketika kebakaran dan membantu apa yang perlu,” katanya ketika ditemui selepas latihan kebakaran di Balai Berita, Jalan Riong, semalam.

Latihan itu dihadiri 386 warga kerja The News Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) dan Media Prima Berhad (Media Prima) bermula jam 10.40 hingga 11.40 pagi.

Menerusi latihan yang pertama kali diadakan itu, kakitangan NSTP dan Media Prima diberi pendedahan mengenai cara untuk menyelamatkan diri ketika berlaku kebakaran.

“Latihan ini berjalan lancar mengikut masa yang ditetapkan. Seramai 21 pegawai dan anggota bomba serta empat jentera dari Balai Bomba Hang Tuah, Seputeh dan Pantai terbabit dalam latihan ini.

“Latihan ini turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Sementara itu, kakitangan NSTP Shadiana Hafis, 34, berkata, latihan seperti ini adalah aktiviti yang memberi banyak manfaat kepada kakitangan.

“Pendedahan mengenai cara menyelamatkan diri ketika berlaku kebakaran sangat berguna kerana ada segelintir rakan sekerja yang masih tidak tahu di mana lokasi berkumpul jika berlaku sebarang kecemasan,” katanya.

Disiarkan pada: December 14, 2016 @ 9:32am
d