mutakhir

'Perisai' tubuh lindungi bayi

Aceh: Demi menyelamatkan nyawa bayinya, seoramg ibu nekad menjadikan tubuhnya sebagai ‘perisai’ hingga mengakibatkan lima tulang belakangnya patah.

Wanita malang terbabit, Marjani M. Daud, 31, kini lumpuh dan terlantar di katil Hospital Dr Fauziah, Bireuen, Pidie Jaya di sini, sejak tragedi gempa bumi meranapkan rumahnya.

Dia yang ditemui wartawan memberitahu sanggup mati untuk menyelamatkan bayinya, Rahil Salsabila yang baru berusia tiga bulan.

“Saya tidak sempat melarikan diri walaupun menyedari gempa bumi berlaku jam 6 pagi Rabu lalu. Ketika itu saya hanya memikirkan nyawa bayi dalam dakapan.

“Dinding empat penjuru bilik tidur bergegar dan merekah sebelum jatuh menimpa kami. Saya tiada pilihan selain membongkakkan tubuh seperti bersujud dengan meletakkan bayi di bawah tubuh,” katanya.

Marjani memberitahu, batu bata dinding, kayu dan atap rumah jatuh menimpa tubuhnya serentak.

“Saya hanya mampu menahan kesakitan sambil merengkuk bagi menyelamatkan Rahil yang menangis terkejut ketika itu.

“Kami kemudian terperangkap di dalam runtuhan rumah sebelum diselamatkan oleh jiran tetangga yang mendengar jeritan saya meminta tolong,” katanya.

Dia yang cedera parah bagaimanapun bersyukur berikutan bayi perempuannya itu terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu doktor di hospital itu, Doktor Zulkarnain Adam, 47, berkata, kecederaan dialami mangsa dianggap serius berikutan laporan X-ray mendapati terdapat lima bahagian tulang belakang mangsa patah akibat ditimpa objek berat.

Pihak hospital masih terus memantau keadaan mangsa yang kini tidak dapat menggerakkan kedua-dua belah kaki dan tubuh.

Disiarkan pada: December 14, 2016 @ 9:34am
d