mutakhir

'Saya mahu keadilan' [METROTV]

Miri: “Saya mahu keadilan selain kematian suami terbela,” luah Hasyikin Hatta, 41, isteri kepada Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Miri Bill Kayong ketika diminta mengulas mengenai penahanan dalang utama kes pembunuhan suaminya, kelmarin.

Suspek, Lee Chee Kiang, 45, atau lebih dikenali sebagai Datuk Stephen Lee ditahan Kementerian Keselamatan Awam China di Putian, Wilayah Fujian, kelmarin, selepas lebih lima bulan melarikan diri sejak kejadian 21 Jun lalu.

Suspek yang dipercayai perancang utama kes pembunuhan itu dibawa pulang ke Malaysia kelmarin, oleh pasukan khas yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar dan tiba di Miri, jam 11.15 pagi semalam.

Hasyikin yang ditemui di Lapangan Terbang Miri berkata, dia menerima maklumat tangkapan itu menerusi aplikasi WhatsApp daripada keluarganya, jam 9 malam kelmarin.

Menurutnya, pada mulanya dia tidak percaya malah membaca laporan mengenai penahanan suspek di media dan laman sosial.

“Lega apabila dalang utama kes ini sudah ditangkap dan saya mahu keadilan supaya kematian suami terbela,” katanya.

Hasyikin dengan ditemani keluarga hadir di lapangan terbang untuk melihat suspek yang terbabit kerana dia dimaklumkan bahawa suspek itu diterbangkan ke Miri untuk pertuduhan di mahkamah.

“Sebelum ini saya hanya melihatnya menerusi media tetapi mahu menyaksikan sendiri wajah lelaki itu. Tahniah kepada polis yang berusaha bagi memastikan suspek ditahan,” katanya.

Turut hadir di lapangan terbang ialah beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut menyambut ketibaan rombongan polis.

Sebaik tiba di balai ketibaan lapangan terbang, suspek yang berambut panjang kelihatan sugul namun badannya agak berisi berbanding sebelum ini.

Sementara itu, Dev Kumar berkata, suspek memasuki China pada 18 Julai lalu, namun dia ditahan apabila polis republik terbabit mendapati pasport antarabangsanya sudah dibatalkan Jabatan Imigresen Malaysia.

Katanya, seorang lagi suspek iaitu pengusaha pusat karaoke, Kong Sien Ming, 35, masih bebas dan pihaknya masih mengesan lelaki terbabit.

Disiarkan pada: December 15, 2016 @ 9:35am
d