mutakhir

Audit menyeluruh

Oleh Asrizal Aris

Kuala Lumpur: Syarikat atau individu yang sering melarikan diri daripada membayar cukai tidak akan terlepas tahun depan selepas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menguatkuasakan operasi audit menyeluruh bagi menggantikan audit berfokus.

Pendekatan agresif itu dikuatkuasakan apabila LHDN meletak sasaran mengutip hasil sebanyak RM2 bilion tahun depan iaitu 165 peratus lebih tinggi berbanding 2015 iaitu RM755.44 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Sabin Samitah berkata, bagi menangani isu pelarian cukai oleh syarikat mahupun individu, pihaknya perlu lebih tegas dalam usaha meningkatkan kutipan hasil negara.

“Semua kes pengauditan dan siasatan akan dilakukan secara menyeluruh bermula tahun depan oleh pegawai penyiasat melalui program operasi khas bersepadu Task Force 2 Bilion (TF2B).

“Selain itu, mana-mana pembayar cukai yang sebelum ini kerap diberi peluang terhadap pembayaran cukai mereka, jika gagal mematuhi peraturan ditetapkan selepas ini, tindakan akan diambil,” katanya pada sidang media pelancaran Program Operasi Khas Bersepadu TF2B di Kompleks Kerajaan, di sini, semalam.

Menurutnya, individu yang terbabit dalam kes pelarian cukai akan dicadangkan untuk disenarai hitam dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dan cadangan itu sudah mendapat sokongan penuh daripada pihak berwajib.

“Selama ini kita mengamalkan audit berfokus iaitu siasatan kes berdasarkan kriteria ditetapkan dan hanya memantau dua hingga tiga item sahaja. Namun selepas beberapa tahun, kita mendapati terdapat beberapa kelemahan.

“Oleh itu, selepas berbincang dengan pihak atasan, kita setuju menguatkuasakan siasatan audit secara menyeluruh bermula tahun depan,” katanya yang baru memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Isnin lalu.

Menurutnya, siasatan menyeluruh itu bukan sahaja membabitkan industri profesional malah turut membuat risikan terhadap kedai emas, aktiviti penyeludupan, perniagaan dalam talian, perubatan dan pinjaman wang berlesen.

Sabin berkata, pihaknya yakin mampu mengutip hasil RM2 bilion tahun depan selepas melihat rekod kejayaan kutipan cukai yang semakin meningkat dari tahun ke tahun iaitu RM511.33 juta (2013), RM543.96 juta (2014) dan RM755.44 juta (2015).

Turut hadir pada majlis pelancaran itu Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LHDN Datuk Nizom Sairi dan Pengarah Cawangan Siasatan Kuala Lumpur Md Jamil Sahrif.

Disiarkan pada: December 16, 2016 @ 9:58am
d