mutakhir

Tiada kompromi [METROTV]

Oleh Azma Razana Johari

Seberang Jaya: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak akan bertolak ansur dengan pengusaha syarikat dan peniaga degil serta ingkar daripada tanggungjawab untuk membuat pembayaran Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan tepat dalam tempoh ditetapkan.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Subromaniam Tholasy berkata, JKDM membuat Operasi Strategi Lautan Biru Kastam (Ops CBOS) bermula 1 September lalu untuk tinjauan dan penilaian bagi memastikan semua syarikat berdaftar mematuhi perundangan GST.

Beliau berkata, pihaknya memantau pengusaha dan peniaga mengutip GST daripada pelanggan, namun tidak menyerahkan jumlah sebenar kepada JKDM.

“Sepanjang lebih tiga bulan membuat pemantauan serta lawatan didapati 17,381 syarikat iaitu di empat negeri di utara, hasilnya kurang memuaskan.

“JKDM merancang untuk meneruskan operasi berkenaan dengan membuat lawatan kepada 200,000 premis berdaftar GST dari keseluruhan lebih 420,000,” katanya ketika mengadakan sidang media di Pejabat JKDM Seberang Jaya, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Bahagian GST JKDM Putrajaya Ahmad Maher Abdul Jalil dan Pengarah JKDM Pulau Pinang Datuk Mohd Rudzi Man.

Menurutnya, antara pengusaha yang ramai didapati ingkar ialah pemilik restoran serta peruncitan.

“Bermula tahun hadapan, JKDM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mahkamah dan mengenakan penalti sehingga 40 peratus daripada jumlah kurang bayar kepada semua syarikat gagal mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

Disiarkan pada: December 16, 2016 @ 10:13am
d