mutakhir

Laluan khas pelajar cemerlang

Oleh Nur Ain Musdad

Jasin: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), mencadangkan Majlis Amanah Rakyat (Mara) memberi laluan khas kepada pelajar cemerlang daripada keluarga kurang berkemampuan bagi kemasukan ke tingkatan satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub berkata, golongan kurang berkemampuan itu perlu diberikan kelebihan menerusi laluan khas dicadangkan bagi memastikan mereka diberi peluang melanjutkan pengajian di MRSM.

“Kami tidak mahu pelajar cemerlang berkenaan ketinggalan, sebaliknya diberi peluang belajar di MRSM, sekali gus mampu membantu mengubah nasib keluarga selepas ini.

“Sebelum ini, kami melonggarkan kemasukan pelajar ke tingkatan satu iaitu syarat minimum keputusan 3A, 3B bagi calon Semenanjung Malaysia manakala untuk Sabah dan Sarawak pula minimum 3A, 2B dan 1C,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Rakyat Terpimpin (PPRT 2) dan Pelancaran Tabung Amal Demimu Rohingya di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Othman Muhamad, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Naim Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman.

Ismail berkata, tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM350 juta untuk Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi membiayai pembinaan atau membaiki kediaman golongan kurang berkemampuan.

Disiarkan pada: December 16, 2016 @ 10:21am
d