mutakhir

Kacau periuk nasi

Oleh Zulfa Mohamad

Kepala Batas: ‘Periuk nasi’ lebih 1,000 nelayan Zon A dijangka terjejas jika kerja menambak laut terus dilaksanakan di Teluk Kumbar selain boleh menjejaskan habitat ikan.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri Mohd Khir Mohd Sham berkata, beliau menerima aduan berhubung cadangan kerja menambak laut berkenaan daripada nelayan yang bimbang hasil tangkapan dan pendapatan mereka akan terjejas jika ia terus dilaksanakan.

Katanya, nelayan Zon A menjalankan kerja menangkap ikan pada jarak lima batu nautika dan kerja menambak laut dijangka membabitkan kawasan tangkapan ikan nelayan.

“Nelayan bimbang habitat ikan akan terjejas jika projek berkenaan dilaksanakan kerana laut adalah sumber rezeki mereka.

“Jika kawasan tangkapan ikan terjejas, mereka terpaksa ke lokasi lebih jauh untuk menangkap ikan,” katanya selepas majlis penyerahan Elaun Sara Hidup Nelayan di Taman Penaga Permai, dekat sini, semalam.

Seramai 1,050 nelayan menerima elaun RM300 seorang membabitkan peruntukan RM315,000 yang disampaikan Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen berkenaan.

Turut sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga Datuk Mohd Zain Ahmad dan ADUN Pinang Tunggal Datuk Roslan Saidin.

Mohd Khir berkata, projek menambak laut membabitkan syarikat swasta itu kini dalam proses pendengaran awam dan sedang menunggu laporan Kajian Kesan Alam Sekitar (EIA) sebelum boleh dilaksanakan.

“Jika ia dilaksanakan juga, kita harap nelayan diberi pampasan setimpal dengan kerugian bakal ditanggung kerana kawasan yang mahu ditambak adalah lokasi nelayan menangkap ikan,” katanya.

Sementara itu, Reezal berkata, sekurang-kurangnya RM12 juta setahun diperuntukkan sebagai elaun sara hidup kepada seluruh nelayan negeri ini membabitkan Zon A, B dan C.

“Jumlah elaun pula meningkat daripada RM200 sebelum ini kepada RM300 seorang dan jika kita lihat di Indonesia yang hasil tangkapannya tinggi pun tidak memberi elaun kepada nelayan,” katanya.

Disiarkan pada: December 18, 2016 @ 5:11am
d