mutakhir

Bonet berapi

Oleh Mohd Ruzaini Zulkepli

Kota Kinabalu: Dua sahabat nyaris maut selepas kereta mewah jenis Bentley yang mereka naiki tiba-tiba terbakar di pekarangan Plaza Shell berhampiran Bulatan Capitol, Jalan Pantai, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan apabila mangsa sempat keluar dari kereta itu sebaik menyedari kepulan asap tebal keluar dari bonet kenderaan itu.

Seorang saksi, Rashid Lee Abdullah, 41, berkata, sebelum kejadian, dia berjalan menuju ke kenderaannya di parkir berhampiran Asia City selepas selesai bekerja syif di premis berhampiran kawasan berkenaan.

Menurutnya, dia melihat kereta itu melalui pekarangan Plaza Shell berhampiran Bulatan Capitol sebelum keluar kepulan asap daripada bonet kereta mewah berkenaan.

“Ketika kereta itu melalui kawasan berkenaan, bonet kereta tiba-tiba mengeluarkan asap disusuli bunyi letupan sebelum terus terbakar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Jurucakap polis berkata, sebelum kejadian, kedua-dua mangsa, masing-masing berusia 26 dan 29 tahun dikatakan dalam perjalanan menuju Taman Ujana, Jalan Tuaran dari arah pusat bandar raya.

Katanya, tiada sebarang unsur jenayah berlaku dan kes disiasat mengikut Peraturan 94 LN 170/59.

Disiarkan pada: December 18, 2016 @ 5:28am
d