mutakhir

Pikat pelancong

Oleh Muhammad Yusri Muzamir

Georgetown: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengiktiraf kesungguhan dan usaha Only World Group (OWG) memberi nafas baru kepada Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, yang muncul sebagai ikon pelancongan di Pulau Pinang.

Beliau berkata, usaha OWG menaik taraf KOMTAR dengan memperkenalkan The Top, sekali gus akan membuka peluang baru untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

“Pulau Pinang sememangnya sangat terkenal dengan pelancongan dan muncul sebagai antara 10 lokasi pilihan terbaik dalam majalah Condé Nest Traveller. Malah, ia juga muncul sebagai penyumbang kepada 40 peratus ekonomi negeri.

“Tahun ini saja, Pulau Pinang berjaya mencatat sebanyak 6.3 juta kemasukan pelancong domestik dan antarabangsa. Justeru, saya berharap dengan pembukaan The Top dapat memperhebat lagi sektor pelancongan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz, pada Majlis Perasmian The Top @ KOMTAR di sini, hari ini.

The Top ialah taman tema tertutup terbesar di Pulau Pinang yang memiliki pelbagai tarikan antaranya Rainbow Skywalk; Menara Tinjau; Pusat Kajian Jurassic dan Kubah Teknologi.

Turut hadir, Ketua Menteri, Lim Guan Eng; Pengerusi Only World Group (OWG), Datuk Dr Tengku Rethwan Tengku Mansor dan Pengarah Jabatan Pelancongan dan Kebudayaan Pulau Pinang, Jonathan Freddy P Bagang.

Sementara itu, Nazri berkata, Kerajaan Persekutuan komited membantu dalam kerja menaik taraf perkhidmatan kereta kabel di Bukit Bendera bagi memastikan keperluan semasa dapat dipenuhi.

“Ia susulan penggunaan kereta kabel berkenaan mencatatkan peningkatan drastik, khususnya ketika musim percutian, iaitu daripada 200,000 kepada 1.6 juta pengguna setahun,” katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2016 @ 9:13am
d