mutakhir

ASEAN perlu bersatu

Oleh Khairul Azran Hussin

Shah Alam: ASEAN perlu bersatu menentang tindakan China dan Amerika Syarikat (AS) yang menggunakan kuasa ketenteraan berhubung isu pertikaian Laut China Selatan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Malaysia konsisten tidak mahu kuasa besar dunia menentukan geo politik di rantau ini dan sebarang peningkatan pergerakan aset ketenteraan oleh kuasa besar dunia perlu ditolak rakan ASEAN lain.

“Kita tidak mahu geo politik itu ditentukan oleh kuasa besar dunia selain nasib dan kedudukan kita kelak. Oleh itu, semua 10 negara ASEAN perlu bersatu dan saya percaya China juga tidak boleh ambil mudah dan menidakkan kedudukan serta pendirian ASEAN.

“ASEAN dan China menandatangani Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak di Laut China Selatan (DOC) dan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC). Jadi, perkara ini perlu dipatuhi bagi mengelak pertelingkahan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penghargaan Sukaralewan anjuran Institut Onn Jaafar (IOJ) di sini, semalam.

Beliau mengulas tindakan Tentera Laut China merampas dron bawah laut milik AS di Laut China Selatan, baru-baru ini.

Malaysia sebelum ini menuntut China menarik kembali aset ketenteraannya yang ditempatkan di Laut China Selatan terutama di Kepulauan Spratly.

Ia susulan pendedahan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan AS, Inisiatif Ketelusan Maritim Asia mengenai gambar China sedang menempatkan aset ketenteraannya di tujuh pulau buatan sekitar Laut China Selatan.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin mengingatkan golongan muda supaya bersatu tanpa mengira kaum dan tidak memusnahkan apa yang diperjuangkan oleh pemimpin terdahulu.

“Jika datuk saya (Allahyarham Datuk Onn Jaafar) dan bapa saya (Tun Hussein Onn) ada hari ini, mereka pasti bangga melihat keharmonian rakyat Malaysia.

“Kita perlu bersama mempertahankan negara ini daripada sebarang ancaman sama ada dalam atau luar negara. Saya melihat adanya harapan dalam kalangan rakyat dalam mengukuhkan perpaduan,” katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2016 @ 9:18am
d