mutakhir

Nasib tenggiling Sunda

Oleh Ardyhansah Amat

Kinabatangan: Kajian secara terperinci akan dilakukan terhadap tenggiling Sunda dalam usaha mengelakkan ia kehilangan habitat dan pupus.

Pengarah Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC), Dr Benoit Goosens berkata, haiwan itu satu-satunya spesies yang ditemui di Sabah dan dilindungi di bawah Bahagian 1 Jadual 2 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997.

“Bagaimanapun, mamalia ini sering menjadi mangsa pemburu haram kerana mempunyai permintaan terhadap sisik dan dagingnya.

“Justeru, haiwan ini terdedah dengan kehilangan habitat dan kepupusan menyebabkan kajian terperinci perlu dilakukan segera,” katanya di sini, semalam.

Benoit berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL) untuk menjalankan kajian itu.

“Baru-baru ini, kami memasang Sistem Kedudukan Global (GPS) satelit pada seekor tenggiling Sunda di pusat penyelidikan di Kinabatangan.

“Haiwan yang dinamakan ‘Asa’ seberat 7.72 kilogram itu disimpan di DGFC selama sebulan, sebelum dilepaskan di hutan berhampiran bagi membolehkannya hidup di habitat sebenar,” katanya.

Menurutnya, prosedur pemasangan itu diketuai pelajar Doktor Falsafah (PhD), Elisa Panjang yang berdaftar dengan Universiti Cardiff dan Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) bersama Dr Laura Benedict dari Unit Penyelamat Hidupan Liar, JHL Sabah.

“Ia satu projek jangka panjang antara DGFC dan JHL Sabah dan dibiayai sepenuhnya Zoo Houston dan Ocean Park Conservation Foundation Hong Kong,” katanya.

Sementara itu, Elisa berkata, prosedur pemasangan satelit itu mengambil masa satu jam dengan mengambil kira pemeriksaan kesihatan, pengumpulan sampel biologi dan pemasangan GPS di sisiknya.

“GPS seberat 80 gram itu dipasang di bawah sisik berhampiran kakinya.

“Melalui cara ini, kita dapat memahami bagaimana tenggiling Sunda bertindak balas terhadap persekitaran terutamanya dalam hutan seperti di Kinabatangan.

“Ia juga dapat membantu kajian terhadap spesies ini, sekali gus membantu melindunginya daripada menjadi mangsa pemburuan haram,” katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2016 @ 10:00am
d