mutakhir

Sudah sampai ajal

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: Seorang lelaki maut apabila dirempuh sebuah kereta ketika cuba menyelamatkan diri sebaik kenderaan yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 261.5, Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, berhampiran Plaza Tol Seremban, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, kemalangan berlaku pada jam 6.15 pagi menyebabkan mangsa, Muhammad Iskandar Syarial, 24, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Katanya, mangsa yang berasal dari Tampin, memandu kereta Perodua Alza dan dari Kuala Lumpur dipercayai mahu pulang ke rumahnya.

“Ketika dalam perjalanan, kenderaan dipandu mangsa dirempuh sebuah kereta Proton Waja dari arah belakang mengakibatkan Perodua Alza yang dipandu mangsa berpusing beberapa kali sebelum melanggar pembahagi kiri jalan dan terbabas ke lorong kanan.

“Mangsa dikatakan keluar dari kenderaannya untuk menyelamatkan diri, namun sekali lagi dirempuh Proton Waja berkenaan,” katanya.

Thiew berkata, pada masa sama, sebuah kenderaan Toyota Rush yang berada di belakang cuba mengelak, namun tidak sempat membrek lalu merempuh dua kenderaan itu.

“Akibatnya, kenderaan Toyota Rush itu turut terbabas ke lorong kiri. Pemandunya, Mohammad Morshad, 45, terselamat serta tidak cedera,” katanya.

Beliau berkata, pemandu Proton Waja berkenaan dipercayai melarikan diri selepas kejadian itu.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini, untuk dibedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2016 @ 10:18am
d