mutakhir

Islam subur di Kemboja

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kampot: Selepas lebih lima tahun bertapak di bumi Kemboja, Kompleks Pendidikan Imam Syafi’e kini semakin berkembang bukan saja dari segi jumlah pelajar, malah infrastruktur institusi itu juga semakin lengkap.

Perkembangan itu didorong bantuan kewangan dan derma daripada badan korporat yang prihatin terhadap madrasah berkenaan dalam membantu membuka peluang pendidikan dan ilmu agama Islam kepada anak di Kemboja.

Menurut Pengerusi Akademi Imam Syafi’e, Mohd Zamerey Abdul Razak, beliau sama sekali tidak menyangka usaha dilaksanakan bersama tiga rakannya yang lain membuahkan hasil apabila sekolah itu menjadi pilihan pelajar di Kemboja menimba ilmu.

“Ketika sekolah ini dibuka pada November 2011 lalu, ia hanya menempatkan 50 pelajar dengan beberapa blok bangunan yang terdiri daripada kelas, bilik guru dan asrama.

“Bagaimanapun, jumlah pelajar semakin meningkat mencecah 220 orang berusia antara 13 hinga 18 tahun dengan 90 tenaga pengajar direkodka. Jumlah itu dijangka bertambah tahun depan hasil reaksi positif masyarakat setempat,” katanya selepas melawat madrasah itu pada majlis Ibadah Korban sempena Program Kemanusiaan Bank Rakyat di Kemboja, baru-baru ini.

Mohd Zamerey yang juga Naib Presiden Pematuhan Syariah Bank Rakyat bersama dua pensyarah Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Zawawi Ismail dan Dr Rahimi Md Saad serta Dr Mohd Sukki Othman dari Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapat idea menubuhkan madrasah di wilayah itu selepas menjalankan tinjauan pada Oktober 2009.

“Waktu itu tidak ada banyak sekolah di wilayah berkenaan menyebabkan ramai anak tercicir mendapat pendidikan bukan saja akademik, malah kurang pendedahan ilmu agama.

“Melihat keadaan itu, kami bercadang menubuhkan madrasah sebagai usaha mengatasi isu keciciran terutama dalam kalangan masyarakat Islam yang juga komuniti minoriti di negara ini.

“Malah, kami memahami masalah kemiskinan masyarakat Islam di sini menyebabkan mereka tidak dapat menghantar anak ke sekolah. Justeru, kami menetapkan bayaran AS$1 (RM4.50) sebulan dikenakan terhadap pelajar manakala gaji guru ditanggung sepenuhnya (Akademi Imam Syafi’e),” katanya.

Jika dulu madrasah itu hanya terdiri daripada beberapa blok bangunan, mereka kini boleh menarik nafas lega apabila mampu membina kemudahan baru bagi keselesaan pelajar dan guru.

“Kami bersyukur apabila banyak badan korporat dan individu tampil menghulurkan bantuan membina madrasah yang kini mempunyai pelbagai kemudahan seperti bilik kelas, rumah guru dan asrama.

“Kami amat menggalakkan sekiranya ada badan korporat dan individu yang tampil menyumbang bagi menambah baik infrastruktur madrasah ini melalui akaun Maybank iaitu 553083023763 (Akademi Imam Syafie - Dana Kemboja),” katanya.

Disiarkan pada: December 20, 2016 @ 8:51am
d