mutakhir

'Mat Peraduan' menang kereta

Oleh Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: Berkat kesabaran dan ketekunan mengambil bahagian dalam pelbagai peraduan membawa tuah kepada Pembantu Tadbir Kanan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, Mohamad Nadzri Mahmud, 45, apabila memenangi kereta Naza Kia Sportage dalam peraduan Mudah Menang Harian Metro (HM) Siri 3.

Menurut Mohamad Nadzri, hadiah utama berkenaan adalah hadiah paling berharga yang pernah diperoleh sepanjang menyertai mana-mana peraduan sepanjang hidupnya.

“Perlu saya akui keluarga adalah orang yang paling kuat menyokong saya ketika memasuki mana-mana peraduan biarpun hanya peraduan kecil yang diadakan pasar raya.

“Boleh dikatakan saya ini sebagai ‘Mat Peraduan’ kerana pantang saya dengar jika ada peraduan, pasti saya orang pertama yang menyertainya,” katanya selepas cabutan siri terakhir itu di sini, semalam.

Mohamad Nadzri yang berasal dari Kangar, Perlis berkata, dia tidak akan menjual kereta yang dimenanginya biarpun sudah mempunyai kereta sendiri kerana baginya itu adalah kenangan paling manis bersama Harian Metro.

“Ada rakan yang menasihatkan supaya menjual kereta yang dimenangi, namun tidak mungkin saya akan lakukannya kerana ini rezeki yang belum tentu saya boleh dapat pada masa akan datang.

“Usaha saya selama berbulan-bulan mencari ayat dan perkataan yang sesuai untuk dijadikan slogan Harian Metro akhirnya terbayar selepas pengumuman pemenang hari ini (semalam),” katanya.

Pemilihan pemenang Peraduan Mudah Menang HM bagi Siri 3 dibuat Pengarang Kumpulan HM, Datuk Mustapa Omar bersama Penulis Khas Kanan Harian Metro, Tuan Asri Tuan Hussein dan Pengarang Bersekutu Rencana HM, Husain Jahit.

Mohamad Nadzri berkata, dia banyak menghabiskan masa membaca kamus untuk mencari perkataan sesuai untuk dijadikan slogan biarpun sibuk dengan tugas hakiki.

“Naluri saya kuat untuk bersungguh-sungguh dalam peraduan kali ini dan puas saya mencari perkataan yang sesuai untuk dipadankan dengan Harian Metro,” katanya.

Disiarkan pada: December 20, 2016 @ 9:30am
d