mutakhir

Terbaring tepi sungai

Oleh Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Mayat seorang lelaki yang menghidap komplikasi jantung ditemui dalam keadaan terbaring di tepi Sungai Kelantan berhampiran Jambatan Sultan Yahya Petra, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Baharom Abu berkata, mangsa, Nik Abdullah Nik Leh, 63, ditemui orang awam jam 6.10 petang.

Menurutnya, anggota peronda ke lokasi dan petugas kesihatan yang hadir di situ turut mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia serta dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedah siasat.

“Pemeriksaan lanjut ke atas mangsa menemui plastik putih mengandungi beberapa jenis ubat untuk penyakitnya iaitu darah tinggi dan diabetes,” katanya, semalam.

Baharom berkata, keputusan bedah siasat mengesahkan kematian mangsa akibat komplikasi jantung dan rekod kesihatannya menunjukkan mangsa dalam rawatan untuk penyakit dihidapinya.

Beliau berkata, mayat mangsa yang berasal dari Pasir Mas kemudian dituntut keluarganya untuk urusan pengkebumian.

Katanya, kes itu diklasifikasikan mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah susulan kematiannya.

Disiarkan pada: December 21, 2016 @ 8:22am
d