mutakhir

Rezeki tunggu lima tahun

Oleh Hassan Omar

Alor Gajah: “Lima tahun saya tunggu, baru sekarang harga getah naik melepasi RM4 sekilogram, tetapi sekarang faktor cuaca pula menghalang saya menikmati harga getah lumayan,” kata penoreh, Mohd Ahad Md Saad, 63.

Mohd Ahad, seorang daripada ribuan penoreh yang gembira dengan kenaikan harga getah beku yang mencecah harga RM4.50 sekilogram pada 14 Disember lalu berbanding harga terendah RM1.80 pada Julai.

Walaupun harga komoditi itu merudum kepada RM4.05 sekilogram semalam, Mohd Ahad tetap gembira kerana ia jauh lebih baik berbanding antara RM1.80 hingga RM2.30 pada Julai hingga November lalu sebelum mula meningkat RM3.80, awal bulan ini.

Menurutnya, ketika harga getah melambung kepada RM7 sekilogram pada November 2010 hingga hujung 2011, dia sempat menikmati limpahan rezeki anugerah Allah itu sebelum menanggung derita akibat kemerosotan harganya selama lima tahun.

Katanya, dia mengambil upah menoreh 100 pokok di kebun milik kakitangan awam di kampung berkenaan seluas 1.2 hektar bagi menyara keluarga.

Menurutnya, selepas lima hari ditoreh, getah beku pada pokok dikumpulkan sebelum dijual kepada ejen pembeli getah yang memiliki lesen dikeluarkan Lembaga Getah Malaysia (LGM).

“Hasil jualan dibahagikan secara 60:40 dengan pemilik kebun, ketika harga getah merudum pendapatan kasar saya dalam sebulan hanya RM400 hingga RM600.

“Dengan harga sekarang, saya jangka mampu peroleh pendapatan antara RM800 hingga RM1,000 sebulan, jauh lebih baik berbanding lima tahun lalu,” katanya ketika ditemui ketika menjual getah beku kepada peraih, Rustam Ma’ali, 31, di kediamannya di Kampung Ramuan Cina Kecil, Masjid Tanah, semalam.

Katanya, dia dan penoreh lain berharap harga getah kembali stabil pada kadar RM4 sekilogram dan bagi menambah pendapatan, dia turut melakukan pekerjaan sampingan seperti mengambil upah memotong rumput dan kerja kampung lain.

Disiarkan pada: December 21, 2016 @ 8:59am
d