mutakhir

Roktu tak 'goyang'

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Rantau Panjang: Tidak gentar dengan penguat kuasa tempatan menyebabkan perkhidmatan kenderaan persendirian dari Thailand dikenali ‘roktu’ masih beroperasi di pintu sempadan negara di Kelantan.

Malah, dalam operasi dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama dua hari berakhir malam kelmarin, empat pemandu roktu ditahan dan dikenakan saman kerana tidak memiliki Permit Pengedaran Antarabangsa (ICP).

Pengarah JPJ Kelantan Datuk Mahasan Mustapa berkata, sejak Januari hingga Disember, pihaknya sudah mengeluarkan 311 saman terhadap kenderaan persendirian Thailand yang keluar masuk ke negeri ini.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 261 saman dikeluarkan atas kesalahan tiada ICP dan menjalankan perkhidmatan roktu di laluan Rantau Panjang, Pasir Mas; Bukit Bunga, Tanah Merah dan Pengkalan Kubor, Tumpat.

“Kami akan terus mengadakan operasi sebegini kerana masih banyak kenderaan persendirian Thailand yang tegar melanggar kesalahan dan undang-undang negara kita.

“Daripada operasi setakat ini, 813 kenderaan Thailand sudah diperiksa dan 280 kenderaan sudah diambil tindakan.

“Saman paling banyak dikeluarkan pula ke atas roktu manakala lain-lain saman ke atas kenderaan persendirian yang tiada lesen memandu CDL (7), Lesen CDL tamat tempoh (3) kesalahan teknikal (9) dan lain-lain kesalahan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Stesen Kawalan Sempadan (SKS) JPJ Rantau Panjang di Kompleks Imigresen, di sini, semalam.

Mahasan juga berkata, 118,319 kenderaan dari negara jiran memasuki Malaysia tahun ini dan sehingga November lalu, kenderaan Malaysia ke Thailand ialah sebanyak 116,955 buah.

“Daripada jumlah kenderaan yang masuk itu, 36,038 ICP sudah dikeluarkan oleh SKS JPJ dan Rantau Panjang menjadi laluan utama kenderaan terbabit iaitu sebanyak 20,358 ICP dikeluarkan sehingga November tahun ini.

“Bagaimanapun, JPJ Kelantan akan melancarkan operasi itu secara berterusan bagi mengawal kemasukan kenderaan Thailand ke Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada: December 21, 2016 @ 10:04am
d