mutakhir

Teringin solat sejak kecil

Oleh Nor Shafinaz Sari

Melaka: “Sejak belajar di tadika lagi, saya memang teringin untuk tunaikan solat. Saya kerap melihat cikgu ajar rakan beragama Islam lain mengenai cara bersolat dengan betul.

“Saya berminat untuk turut serta, tetapi tidak boleh kerana aktiviti itu untuk rakan beragama Islam,” kata Michelle Ling Mya Shuet, 14, remaja perempuan yang memeluk Islam pada Jun tahun lalu.

Menurutnya, suara hatinya kuat mengatakan Islam agama untuk dirinya selepas ibunya Alifa Ling, 46, yang juga ibu tunggal mengucap dua kalimah syahadah ketika dia berusia sembilan tahun.

Katanya, tinggal di persekitaran dikelilingi masyarakat Melayu yang berpegang kepada ajaran Islam menyebabkan dia akhirnya mengikut jejak ibunya mengucapkan syahadah.

“Tahun lalu, ustazah di sekolah mendapat tahu ibu mualaf. Berikutan itu, dia menawarkan diri untuk mengajar saya mengenai Islam secara lebih mendalam.

“Selepas berfikir pada pertengahan Ramadan tahun lalu, saya mengucap dua kalimah syahadah di hadapan ustazah itu di surau sekolah seterusnya bergelar Muslim,” katanya selepas menerima bantuan persekolahan pada majlis di pejabat Persatuan Cina Islam Malaysia (MACMA) negeri, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha MACMA Melaka Nur Caren Chung dan Penolong Pengurus Jabatan Syariah dan Pematuhan Halal QSR Brands Malaysia Holdings Sdn Bhd Zalelawati Hasin.

Dia yang kini menetap di Kuala Lumpur berkata, ibu tidak pernah memaksanya memeluk Islam sebaliknya memberikan nasihat supaya berfikir sebelum membuat keputusan.

Menurutnya, dia terharu dengan sumbangan disampaikan MACMA Melaka yang prihatin dengan nasib diri dan ibunya.

“Ibu bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai buku dan dengan pendapatan bulanan diperoleh hanya cukup menampung keperluan harian kami.

“Jadi, bantuan seperti ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban kami yang hidup ala kadar,” katanya.

Sementara itu, Nur Caren berkata, 37 mualaf menerima sumbangan peralatan sekolah dan wang tunai daripada QSR Brands Malaysia Holdings Sdn Bhd.

Disiarkan pada: December 22, 2016 @ 8:47am
d