mutakhir

Tiada baju, kasut lusuh lagi

Oleh Asrizal Aris

Kuala Lumpur:“Sudah bersemangat untuk ke sekolah, tidak perlu pakai baju dan kasut sekolah lusuh lagi,” itu kata Nur Fariesya Eliyana Fazly Azwar, 10, selepas menerima bantuan persekolahan daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Nur Fariesya adalah salah seorang daripada 17,000 pelajar sekolah rendah dan menengah yang menerima baucar pusat pakaian Hari-Hari sebanyak RM100 dan beg sekolah YWP melalui program Ceria Ke Sekolah yang diadakan di seluruh Wilayah Persekutuan.

Nur Fariesya berkata, dia bersama adiknya yang turut menerima bantuan sama tidak sabar untuk memulakan alam persekolahan sesi 2017 dengan memakai kelengkapan sekolah baru.

“Sekurang-kurangnya bantuan ini mengurangkan beban dan kos ibu bapa kami yang juga terpaksa menanggung yuran persekolahan nanti.

“Kami berharap bantuan ini akan berterusan supaya pelajar sekolah yang tidak berkemampuan seperti kami lebih bersemangat untuk ke sekolah selepas bercuti lama,” katanya ketika ditemui pada program Ceria Ke Sekolah di Pusat Rekreasi Cheras, di sini, semalam.

Program itu dirasmikan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Roslan Hassan.

Syed Ali berkata, YWP memperuntukkan RM2.5 juta bagi program bantuan persekolahan yang disampaikan kepada 17,000 pelajar di 13 parlimen di Wilayah Persekutuan.

Katanya, seramai 500 pelajar kurang berkemampuan menerima sumbangan itu dalam program Ceria Ke Sekolah di Cheras, semalam.

“Bantuan kali ini kita tukarkan tunai RM100 kepada baucar pusat pakaian kerana Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) prihatin dalam memastikan sumbangan yang diberikan itu dimanfaatkan untuk membeli kelengkapan sekolah dan bukan perkara lain.

“Selain itu, KWP juga menyediakan bas sekolah percuma kepada anak-anak penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi sesi persekolahan 2017 nanti,” katanya.

Menurutnya, selain program bantuan persekolahan, YWP turut menganjurkan bantuan lain melalui program pendidikan, kemasyarakatan, pembangunan ekonomi, belia dan komuniti yang membelanjakan lebih RM17 juta bagi tahun ini.

Disiarkan pada: December 22, 2016 @ 8:49am
d