mutakhir

Tarik lebih 7,000 pengunjung

Oleh Recqueal Raimi

Tuaran: Festival Kerjaya Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) peringkat negeri di Pusat Latihan Rela Negeri Sabah, Kampung Gayang, di sini, baru-baru ini, menarik lebih 7,000 pengunjung termasuk pencari kerja.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri SK Devamany berkata, program itu kini menjadi antara platform terpenting yang menjadi penghubung secara terus kepada pencari kerja dengan majikan.

“Secara tidak langsung, ia juga meningkatkan peluang pencari kerja khususnya lepasan universiti untuk mencari pekerjaan mengikut kehendak pasaran dan kekosongan, sekali gus dapat melahirkan pekerja berkemahiran.

“Antara syarikat yang menyertai temu duga kali ini adalah Akademi Binaan Malaysia (ABM) & Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), UEM Group, Sime Darby Plantation, PNB Investment, Malaysia Airports Holdings, Borneo Highway PDP, Maybank, MASwings, Astro Sabah, MMU Cnergy, Excellent Skill Academy, Unimekar Industries, Institut Usahawan Muda dan Thai Odyssey yang menawarkan peluang pekerjaan,” katanya yang membaca teks ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Selain sesi temu duga terbuka, beberapa aktiviti turut diadakan termasuk sesi motivasi bersama selebriti pelawak Kumpulan Zero dan pengacara terkenal Farish Aziz, persembahan muzik, cabutan tiket bertuah, pameran pasukan beruniform, kempen derma darah dan sebagainya.

Tambah Devamany, antara hadiah cabutan bertuah kali ini adalah motosikal, basikal ‘Mountain Bike’, televisyen LED, barangan elektronik dan hamper.

Pengunjung gembira membeli-belah di pelbagai gerai jualan termasuk trak makanan sambil menyaksikan pameran Auto-Show dan Superbike.

Disiarkan pada: December 22, 2016 @ 9:03am
d