mutakhir

Bangun awal pergi SL1M

Oleh Recqueal Raimi

Tuaran: Menempuh perjalanan jauh selama enam jam bukan menjadi penghalang buat Azri Johari, 23, untuk menyertai Festival Kerjaya Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) 2016 di Pusat Latihan Rela Negeri Sabah, Kampung Gayang, di sini, Sabtu lalu.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kewartawanan dan Penyiaran) Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu berkata, dia enggan melepaskan peluang untuk mendapatkan kerja selepas tamat pengajian, bulan lalu.

“Sebaik membaca iklan mengenai program SL1M di sini, saya segera menyuarakan hasrat kepada keluarga untuk ke sini.

“Saya bangun seawal jam 2 pagi lagi sebelum bertolak sejam kemudian dan berjaya tiba di sini jam 8 pagi,” katanya yang kini menetap di Pulau Banggi, Kudat.

Azri berkata, program seperti ini jarang diadakan di Kudat, apatah lagi di kampungnya yang terletak di pulau.

“Sudah tentu apabila ada penganjuran SL1M di sini, ia menjadi peluang keemasan kepada kami yang jauh di pedalaman untuk mencari peluang pekerjaan.

“Malah, melalui cara ini juga, saya dapat memohon pekerjaan di beberapa syarikat dalam satu masa dan lokasi yang sama,” katanya.

Seorang lagi graduan, Valentina Sumbing, 24, menyifatkan SL1M yang dianjurkan kali ini memberikan peluang kepadanya untuk mencari kerja selepas lebih setahun menganggur.

“Sebelum ini, saya sudah banyak membuat permohonan pekerjaan, namun tidak berjaya apabila sebahagian besar majikan memerlukan pekerja yang berpengalaman.

“Justeru, melalui program ini, graduan yang baru saja menamatkan pengajian dan tidak mempunyai pengalaman kerja seperti saya mempunyai peluang untuk mencari pekerjaan sendiri,” katanya.

Sementara itu, guru tadika, Norlianeh Ali, 28, yang berasal dari Beaufort berharap mendapat pekerjaan yang lebih baik melalui SL1M.

“Sekurang-kurangnya saya mencuba nasib untuk memperbaiki hidup sendiri dan keluarga,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S K Devamany berkata, lebih 97,000 peserta SL1M mendapat pekerjaan sejak ia dilaksanakan pada tahun 2011.

“Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran pada September 2016 adalah 3.5 peratus daripada 14,762,200 tenaga buruh negara.

“Walaupun peratusan ini dikira rendah, kerajaan tidak pernah memandang rendah terhadap isu yang menjadi masalah terutama graduan,” katanya yang membaca teks ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Menurutnya, kerajaan akan mempertingkatkan penggunaan Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) untuk melaksanakan program latihan semula dan peningkatan kemahiran pekerja yang diberhentikan oleh majikan sebelum ini.

Disiarkan pada: December 22, 2016 @ 9:20am
d