mutakhir

'Ingatkan putus sehari' [METROTV]

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: Gangguan bekalan air di sekitar Lembah Klang yang masuk hari ketiga semalam terus mendapat keluhan penduduk dan peniaga yang terjejas.

Tinjauan Harian Metro di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan Kampung Sungai Penchala mendapati pengguna dan peniaga terpaksa mengambil air dari kawasan tidak terjejas atau membelinya untuk kegunaan seharian.

Penduduk, Nasir Umar, 70, berkata, dia mendapat tahu mengenai gangguan bekalan air melalui rakannya pada Ahad lalu, tetapi tidak menyangka ia berlarutan selama tiga hari sejak Isnin lalu.

“Saya ingatkan mungkin sehari saja tak ada air jadi saya simpanlah air mengikut keperluan kami lima beranak, tidak sangka pula berlarutan selama tiga hari.

“Lagipun badan sudah tua, tak larat hendak ulang-alik menunggang motosikal sejauh satu kilometer dari rumah ke bukit berhampiran untuk menadah air,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini semalam.

Menurut warga emas itu, lebih mengecewakannya, pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) juga tidak menyediakan perkhidmatan lori tangki air ke kawasan rumahnya dan beberapa lagi rumah lain yang terletak di atas bukit.

“Saya harap, selepas ini masalah sama tidak berulang dan SYABAS perlu lebih prihatin terhadap kesukaran yang dihadapi masyarakat terutama warga emas,” katanya.

Bagi pembantu kedai makan di TTDI, Wanda Sufi, 25, majikannya terpaksa menutup perniagaan semalam selepas dua hari ‘bertahan’ dengan situasi terputus bekalan air.

“Sejak Isnin lalu, kami bergantung sepenuhnya pada air simpanan di dalam tangki manakala untuk minuman dan masakan pula dibeli di kedai berhampiran.

“Selain itu, kami juga terpaksa menggunakan pinggan pakai buang untuk menjimatkan air, namun selepas dua hari bertahan, hari ini (kami) majikan terpaksa menutup kedai kerana sudah kehabisan air,” katanya.

Seramai 3.9 juta pengguna bekalan air terawat di 814 kawasan di Lembah Klang terjejas bermula kelmarin berikutan kerja senggaraan dan pemasangan sistem perlindungan arka oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pencawang Masuk Utama Bukit Badong, Ijok, Kuala Selangor.

Kerja senggaraan dilakukan setiap tiga tahun itu bertujuan mencegah kerosakan atau gangguan bekalan elektrik tidak terancang di loji rawatan air dan akan menjejaskan operasi di loji rawatan air utama Sungai Selangor yang membekalkan air kepada 60 peratus pengguna di Lembah Klang.

Disiarkan pada: December 22, 2016 @ 10:09am
d