mutakhir

Kami menang!

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Ipoh: Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan 10 defendan termasuk dua beranak yang juga peguam serta dua Tok Batin dan sebuah firma guaman memulangkan wang dan membayar ganti rugi berjumlah RM37 juta kepada Tabung Amanah Linggui Valey Orang Asli (Jakuns) Trust dan 78 masyarakat Orang Asli.

Keputusan itu dibuat mahkamah berkenaan yang bersidang di Mahkamah Tinggi di sini, semalam oleh Hakim Datuk Samsudin Hassan yang turut memerintahkan pihak defendan membayar ganti rugi teladan RM5 juta dan RM1 juta sebagai kos dalam dua kes yang difailkan plaintif iaitu 78 penduduk Orang Asli berkenaan.

Semua masyarakat orang asli terbabit yang hadir ke mahkamah semalam bagi mendengar sendiri keputusan yang dinantikan mereka selama 13 tahun itu dilihat mengalirkan air mata serta berpelukan sesama sendiri selepas keputusan dibuat Samsudin.

Dalam penghakimannya, Samsudin berkata, defendan iaitu S Kanawagi, anaknya, K Dinesh, Batin Adong Kuwau (sudah meninggal dunia) dan Batin Daud Kadir (sudah meninggal dunia) dan firma guaman Khana & Co bertanggungjawab menyalahguna, salah tadbir dan urus serta salah pakai wang pampasan yang dibayar Kerajaan Johor kepada penduduk Orang Asli yang tanah mereka diambil alih bagi pembinaan Empangan Linggui.

Katanya, pihak defendan juga tidak jujur dan amanah, gagal memaklumkan perkara benar, tidak konsisten, mengemukakan dokumen yang boleh dipertikaikan, tidak memberi kerjasama memberi maklumat diminta plaintif serta melengah-lengahkan kes.

Pada 5 Jun 2000, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan kerajaan negeri membayar RM38,554,111.92 (termasuk faedah) kepada 52 Orang Asli sukum kaum Jakun sebagai pampasan atas pengambilan tanah bagi pembinaan empangan berkenaan, dengan RM22 juta disimpan dalam tabung amanah itu manakala baki RM16,554,111.92 melalui pembentukan sebuah amanah konstruktif.

Mahkamah sama mengarahkan wang itu diserahkan kepada Khana & Co untuk dibayar kepada Orang Asli berkenaan selepas ditolak kos termasuk guaman, yuran perundingan dan perbelanjaan.

Bagaimanapun, 34 daripada 52 Orang Asli berkenaan yang diwakili Saling Lau Bee Chiang tidak mengetahui perincian keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru itu, sebaliknya hanya mengetahuinya pada 2004, menyebabkan mereka membuat laporan polis dan membuat aduan kepada Majlis Peguam dan Lembaga Disiplin, sebelum Saling dan 33 penerima pampasan melantik firma guaman G Ragumaren & Co untuk memfailkan saman itu.

Sementara itu, Saling yang mewakili masyarakat Orang Asli berkenaan ketika ditemui kemudian berkata, mereka amat gembira menerima keputusan yang memihak kepada mereka selepas 13 tahun menanti.

“Inilah contoh kes Orang Asli kena tipu dan kami minta kalau ada kes bayaran pampasan perlu hati-hati sebab peguam pun ada yang tipu...kami baru dapat lebih RM2,000 sahaja,” katanya.

Disiarkan pada: December 23, 2016 @ 8:32am
d