mutakhir

Harapan Wolbachia

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Malaysia sedang berusaha mengawal peningkatan populasi nyamuk aedes menggunakan penyelesaian terkini bakteria Wolbachia dan teknik pensterilan serangga yang berupaya menangani jangkitan penyakit bawaan virus seperti denggi, chikugunya dan zika.

Usaha berkenaan dilakukan dengan kolaborasi kepakaran tempatan dan luar negara termasuk Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Pakar akademik penyakit berasaskan vektor di Asia Tenggara yang juga Prof Madya Parasitologi dan Entomologi Perubatan Fakulti Sains Kesihatan UKM Dr Hidayatul Fathi Othman berkata, dua teknik yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu bakal digunapakai untuk mengawal aedes di Malaysia.

“IAEA dengan kerjasama agensi berkaitan di Malaysia sedang mencari dana untuk melaksanakan projek pensterilan serangga iaitu teknik memandulkan nyamuk aedes aegypti jantan menggunakan kaedah gelombang pengimbas sinar X.

“Nyamuk jantan didedahkan kepada gelombang sinar X sebelum dilepaskan kepada persekitaran dengan harapan nyamuk ini akan melakukan persenyawaan dengan nyamuk betina dari persekitaran asal.

“Menerusi kaedah ini, telur yang dikeluarkan oleh nyamuk betina itu akan menjadi hampas dan tak membiak menjadi larva,” katanya.

Menurutnya, satu lagi kaedah adalah bakteria Wolbachia yang berkesan mengawal perkembangan aedes dengan menghentikan jangkitan seterusnya berlaku kepada tubuh badan manusia.

“Bakteria Wolbachia ini tidak akan menjangkiti manusia. Bakteria ini memang wujud secara semulajadi dalam serangga, namun ada beberapa jenis Wolbachia yang kita dapati boleh membunuh dan mengawal perkembangan virus dalam nyamuk kerana berlaku fenomena ketidakserasian sitoplasma.

“Dengan adanya Wolbachia dalam nyamuk aedes aegypti membolehkan kita mengawal transmisi virus kepada manusia kerana jangkitan nyamuk sudah terhenti serta mengurangkan peratusan populasi nyamuk dewasa.

“Kajian ini sedang dilakukan IMR dengan kerjasama sebuah universiti di luar negara,” katanya.

Katanya, gabungan kedua-dua teknik berkenaan juga diakui terbukti berkesan dalam menyekat perkembangan nyamuk aedes aegypti menerusi kajian dilakukan Mahidol University di Thailand.

“Hasil kajian itu mendedahkan penggunaan gabungan kaedah bakteria Wolbachia dan pensterilan serangga mampu menurunkan populasi pembiakan nyamuk di kawasan kajian dan tempat lain.

“Justeru, saya amat berharap kaedah seumpama ini dapat kita lakukan untuk membanteras masalah wabak dari aedes,”katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, peranan masyarakat juga penting menerusi aktiviti cari dan musnah berikutan kaedah itu paling cepat dan berkesan mengawal nyamuk aedes daripada terus membiak.

“Ingat, nyamuk aedes membiak di dalam air bersih dan jernih. Oleh itu, tidak hairanlah jika masih terdapat kawasan yang menjadi kawasan wabak denggi walaupun kelihatan bersih.

“Jika kawasan perumahan kita bersih, cuba periksa dan bersihkan tempat pembiakan nyamuk di dalam dan sekitar luaran rumah,” katanya.

Disiarkan pada: December 25, 2016 @ 5:16am
d