mutakhir

Drebar lesen palsu

Oleh Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Seorang lelaki berusia 40-an diberkas polis selepas dikesan berkeliaran dan memandu teksi menggunakan lesen palsu.

Lelaki terbabit ditahan polis menerusi Ops Roda dilakukan sepasukan anggota polis trafik di Jalan Syed Putra, jam 2 petang semalam.

Jurucakap Jabatan Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur berkata, lelaki terbabit ditahan untuk pemeriksaan selepas didapati memandu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, suspek kemudian diarah mengemukakan kad pengenalan dan lesen memandu untuk pemeriksaan.

“Hasil semakan polis mendapati lesen memandu digunakan itu adalah palsu dan sudah tamat tempoh pada 3 Julai 2007.

“Pemandu terbabit ditahan dan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan serta tindakan lanjut,” katanya, semalam.

Khamis lalu, Harian Metro mendedahkan tindakan seorang pemandu teksi mengenakan tambang RM800 kepada dua pelancong warga Perancis selepas diminta menghantar mereka dari KLCC ke Masjid Negara.

Mangsa yang diperdaya kemudian membuat laporan di pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Disiarkan pada: December 25, 2016 @ 5:20am
d