mutakhir

Isteri hamil cedera sebelah mayat suami

Kuala Lumpur: Seorang isteri hanya mampu terbaring kesakitan di sisi suaminya yang berlumuran darah sejurus motosikal ditunggang menjadi mangsa langgar lari.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi kelmarin, mangsa, Meor Ridzuan M Amin, 25, dan isteri, Sri Winda Astuti, 23, dirempuh kenderaan ketika melalui Jalan Pudu berhampiran Bulatan Jalan Pudu di sini.

Bagaimanapun Meor Ridzuan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, HCTM di sini, akibat cedera parah di kepala dan badan.

Bagaimanapun Sri Winda yang sedang hamil enam bulan hanya mengalami cedera ringan dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain, berkata, siasatan mendapati motosikal ditunggang pasangan suami isteri itu bergerak dari arah Cheras menghala ke arah Jalan Pudu.

“Saksi mendakwa sebuah kereta model Proton Saga berwarna putih tiba-tiba membuat pusingan U di laluan tidak dibenarkan menyebabkan motosikal mangsa tidak sempat mengelak dan melanggarnya.

“Akibat rempuhan itu, penunggang motosikal tercampak dan mengalami pendarahan yang banyak manakala kereta terbabit dikatakan memecut melarikan diri ke arah Cheras,” katanya.

Nadzri berkata, pihaknya sudah merakamkan percakapan saksi kemalangan dan menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) Pusat Pengurusan Pengangkutan Bersepadu (ITIS) milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta berjaya mengesan nombor pendaftaran kenderaan suspek.

Katanya, pemandu kenderaan terbabit bagaimanapun membuat laporan di Balai Trafik Shah Alam, pada jam 4.08 petang, hari sama.

“Pihak polis menahan lelaki berusia 25 tahun itu dan dia dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur di sini, kira-kira jam 7 malam.

“Pihak polis juga sudah merakam percakapan dan mengambil sampel air kencing serta darah lelaki terbabit siasatan lanjut.

“Dia kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis dan kes masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: December 27, 2016 @ 7:32am
d