mutakhir

Tersisih terima rumah kekal

Gua Musang: Satu keluarga dari Kampung Nerang, di sini, mendakwa nama mereka sebagai penerima rumah kekal mangsa banjir tiba-tiba dipotong ‘tangan ghaib’.

Sembilan beranak itu yang kediaman mereka rosak teruk ketika bencana banjir pada 2014 mendakwa sebelum ini tersenarai sebagai penerima rumah projek perumahan rakyat (PPR) yang diperuntukkan.

Mereka juga pernah menginap di khemah sementara di Bandar Utama sejurus bencana itu dan diarah berpindah ke Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani sementara menunggu rumah siap.

Bagaimanapun, Azizah Jusoh, 55, berkata, selepas lima bulan di kem PLKN, dia dimaklumkan nama suaminya Ku Amran Ku Mat, 50, tidak tersenarai sebagai penerima rumah kekal.

Kesal dengan keadaan itu, katanya, mereka berpindah semula ke tapak asal rumah yang rosak tanpa sebarang kelengkapan yang sempurna.

“Kami terlalu banyak berfikir masalah ini hingga suami pun kerap sakit. Dia menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM), di sini.

“Suami juga sudah lama tidak bekerja kerana sakit dan perbelanjaan kami setiap hari bergantung kepada dua anak lelaki,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Azizah berkata, dia juga tidak dimaklumkan sebab sebenar nama keluarga tersisih daripada menerima rumah terbabit.

Katanya, barang kelengkapan rumah sumbangan Petronas seperti katil, tilam, peti sejuk, dapur, sofa dan televisyen yang diterima (untuk memasuki rumah baru) terpaksa digunakan untuk rumah lama yang separuh roboh itu.

Menurutnya, dia sedih apabila memasuki rumah sisa banjir itu yang atap bocor, dinding separuh roboh dan lantai kayu yang reput.

“Anak juga pilih penjuru rumah yang masih selamat sebagai tempat nak tidur dan kami hanya pasang plastik sebagai dinding elak basah hujan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab Aziz Yusof ketika diajukan masalah itu berkata, akan menyiasat punca nama mangsa tercicir.

Disiarkan pada: December 27, 2016 @ 7:46am
d