mutakhir

Redah banjir siang menyingsing

Oleh Shamsudin Husin

Chukai: “Saya bersyukur kerana kami sekeluarga sempat berpindah dan tiada kejadian buruk berlaku,” kata Ameran Draman, 46, mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan di Balai Raya Kampung Padang Kemunting, dekat sini, semalam.

Menurut Ameran, dia bersama isteri serta lima anak berusia enam hingga 25 tahun berpindah kira-kira jam 7 pagi semalam menaiki bot gentian kaca selepas kediaman mereka dinaiki air akibat hujan lebat sejak petang kelmarin.

Katanya, air mula naik pada waktu malam menyebabkan mereka sekeluarga tidak tidur lena kerana bimbang air semakin naik.

“Awal pagi tadi, air mula mencecah sehingga 1.5 meter dan kami sekeluarga terus berpindah kerana bimbang air semakin naik berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Alhamdulillah, saya bersama keluarga selamat berpindah dan tiba di pusat pemindahan kira-kira jam 8 pagi.

“Sebaik tiba di pusat pemindahan, kami bersarapan dengan kit makanan permulaan yang disediakan pihak urusetia pusat pemindahan dan semuanya berada dalam keadaan baik,” kata kakitangan swasta yang bekerja di kawasan Perindustrian Teluk Kalong, di sini.

Seorang lagi mangsa banjir, Zakaria Wahab, 55, berkata, dia mula berasa tidak sedap hati apabila hujan lebat berterusan sejak petang kelmarin menyebabkan air naik sehingga satu meter di kawasan rumahnya.

“Saya bersyukur kerana semua barangan yang ada di dalam rumah dapat diselamatkan dengan meletakkannya di tempat tinggi sebelum saya bersama keluarga berpindah pada jam 8 pagi tadi.

“Kami sekeluarga memang sudah membuat persiapan dengan memindahkan barangan ke tempat yang lebih tinggi sebaik melihat hujan lebat berterusan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail berkata, hujan lebat yang berlaku di kawasan pantai di Kemaman menyebabkan beberapa kampung di kawasan pantai dilanda banjir.

Katanya, seramai 63 orang daripada 15 keluarga masih berada di tiga pusat pemindahan di Kemaman dan mereka berada dalam keadaan baik dengan bekalan makanan mencukupi.

“Sehingga kini, sebuah daripada empat pusat pemindahan banjir di Kampung Bukit Kuang sudah ditutup pada jam 9.30 pagi ini (semalam) manakala seramai 26 orang daripada lapan keluarga masih ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Badrul Alam Shah, Kemasek.

“Di Balai Raya Kampung Batu 9 Ibok pula terdapat enam keluarga membabitkan 21 mangsa manakala di Balai Raya Kampung Padang Kemunting pula terdapat tiga keluarga membabitkan 16 orang yang masih berada di pusat pemindahan itu, ” katanya ketika melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Balai Raya Kampung Padang Kemunting, di sini, semalam.

Disiarkan pada: December 27, 2016 @ 7:47am
d