mutakhir

Nusantara Care terus bantu pelajaran etnik

Serdang: Mengumpul dana lebih RM400,000 antara usaha berterusan NGO MyCare menerusi Nusantara Care sejak tahun lalu bagi membantu pelarian Rohingya.

Eksekutif Projeknya, Amirul Zamani Rosli berkata, Nusantara Care pernah menjalankan misi bantuan ke Myanmar sejak tahun lalu yang memberi tumpuan kepada pendidikan dan kesihatan.

“Dua misi bantuan dibuat di Myanmar dan terbaru pada Jun tahun ini. Sebanyak RM200,000 sudah disumbangkan kepada etnik Rohingya yang ditindas di Myanmar.

“Nusantara Care juga merancang mengadakan misi bantuan ke sana (Myanmar) pada tahun depan. Bagaimanapun ia bergantung kepada keadaan keselamatan di sana,” katanya.

Menurutnya, seramai 1,000 pelarian Rohingya yang tinggal di 13 madrasah Rohingya di sekitar Lembah Klang menerima bantuan sebanyak RM200,000.

“Antara bantuan yang diberikan adalah makanan, pakaian dan kelengkapan sekolah. Selain itu, kami juga memberikan pemeriksaan kesihatan percuma kepada kanak-kanak pelarian Rohingya,” katanya.

Menurut Amirul, Nusantara Care turut menyara 50 anak yatim Rohingya itu.

“Sebanyak RM1,500 setahun diperuntukkan untuk setiap seorang kanak-kanak Rohingya itu menjadikan jumlah keseluruhannya RM75,000. Ia bagi menampung yuran pengajian dan sara hidup kanak-kanak itu,” katanya.

Menurutnya, Nusantara Care kini mencari dana melalui Tabung Kecemasan Rohingya MyCare.

Sesiapa yang ingin menyalurkan bantuan melalui Maybank 5515 7500 4299 atau CIMB 8602 1355 92.

Disiarkan pada: December 27, 2016 @ 7:55am
d