mutakhir

Daim, Toblerone selamat dimakan umat Islam

Kuala Lumpur: Coklat jenama Daim dan Toblerone diperbuat daripada bahan sesuai dan selamat dimakan masyarakat Islam, kata pemasar jenama coklat berkenaan, Mondelez Malaysia.

Ketua Hal Ehwal Korporat dan Kerajaannya, Raja Zalina Raja Safran berkata, walaupun coklat Toblerone dan Daim dihasilkan di negara yang tidak memerlukan pensijilan halal, produk terbabit memenuhi piawaian pemakanan pengguna di seluruh dunia.

“Kami terus bekerjasama dengan pihak berkuasa di seluruh pasaran tempatan termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memastikan produk kami memenuhi keperluan pengguna di Malaysia.

“Semua maklumat mengenai bahan menghasilkan coklat Toblerone dan Daim tertera dan pengguna dinasihatkan merujuk kepada pek bungkusan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Sehubungan itu, katanya, JAKIM juga mengeluarkan penjelasan produk makanan yang bukan pemegang sijil halal tidak boleh dianggap tidak halal atau haram.

Kelmarin, Bahagian Hab Halal JAKIM mengeluarkan kenyataan dua jenama coklat kegemaran ramai itu bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia atau mana-mana badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf JAKIM.

Pengarahnya, Dr Sirajuddin Suhaimee dipetik berkata, tujuan JAKIM mengeluarkan kenyataan mengenai pengesahan sijil halal berhubung kedua-dua jenama itu kerana menerima banyak pertanyaan masyarakat yang mahu mendapatkan kepastian berkenaan status halal dua produk terbabit.

Bagaimanapun tegasnya, ia bukan bermaksud menuduh produk itu tidak halal, sebaliknya hanya tidak mempunyai sijil halal.

Disiarkan pada: December 27, 2016 @ 8:08am
d