mutakhir

'Mohon Dik Wan cakap penuh' [METROTV]

Oleh Siti A'isyah Sukaim

Sepang: “Saya akan berdoa memohon di hadapan Kaabah, semoga Dik Wan dapat bercakap penuh (dengan sempurna),” kata Mohamad Puzi Mat Isa, 56, bapa Mohamad Ridzuan, atlet yang memenangi pingat emas pada Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil.

Mohamad Puzi bersama isteri serta anaknya berlepas ke Tanah Suci, semalam bagi menunaikan ibadat umrah ditaja DRB-HICOM Berhad susulan kemenangan Mohamad Ridzuan merangkul pingat emas dalam acara sukan berkenaan.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, tajaan yang diterima itu disifatkan rezeki daripada Allah dan mereka berasa terharu serta bersyukur berpeluang menunaikan umrah.

“Terima kasih kepada pihak DRB-HICOM Berhad dan saya serta isteri dapat ‘menumpang’ rezeki anak menerusi hadiah tajaan diterima ini.

“Ini kali pertama saya dan isteri ke Tanah Suci, sekali gus ia sesuatu yang tidak dapat dijangkakan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Mohamad Ridzuan yang juga pemegang rekod acara 100m T36 lelaki disahkan doktor menghidap cerebral palsy (CB) sejak berusia setahun, malah dia turut mengalami masalah pertuturan.

Selain itu, pemenang pingat emas lain iaitu Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly serta pemenang pingat gangsa, Siti Noor Radiah Ismail bersama keluarga masing-masing turut ditaja menunaikan umrah.

Dalam pada itu, Muhmmad Ziyad berkata, dia bersyukur dapat menunaikan ibadat itu bersama ibu bapa dan isteri kerana impian dan hasrat untuk membawa mereka ke Tanah Suci.

“Pada Mei lalu, ibu bapa sudah menunaikan umrah dan kali ini mereka pergi sekali lagi menjadi tetamu Allah di sana,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Komunikasi Kumpulan DRB-HICOM, Mahmood Abdul Razak berkata, penajaan umrah itu adalah kali pertama daripada pihaknya untuk atlet paralimpik dalam memberi penghargaan kepada mereka yang mengharumkan nama negara.

Disiarkan pada: December 27, 2016 @ 8:13am
d