mutakhir

DBP anjur program galak wakaf kitab

Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyasarkan 40 kitab Tafsir Maudhu’iy dan 40 buku Tafsir Mubin berjumlah RM50,000 untuk diwakafkan kepada lima Maahad Tahfiz terpilih melalui program Wakaf Buku DBP.

Program pertama kali diadakan itu bertujuan menggalakkan masyarakat menjadikan buku sebagai antara satu bentuk wakaf yang boleh dimanfaatkan secara kekal dalam masyarakat umum.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Kamarul Zaman Shaharudin berkata, program itu mendapat kerjasama strategik daripada Perbadanan Wakaf Selangor dan Bank Islam Malaysia Berhad.

“Dengan pendekatan wakaf tunai serendah RM10 yang akan ditukarkan kepada bentuk bahan bacaan, pahala yang berterusan akan diterima oleh pewakaf yang menyumbang.

“Program itu sekali gus mendidik dan memudahkan orang ramai untuk berwakaf, termasuk mewakafkan bagi pihak ahli keluarga yang sudah meninggal dunia,” katanya selepas majlis perasmian pelancaran program Wakaf Buku DBP, di Kompleks DBP, di sini, semalam.

Menurutnya, sasaran utama pewakaf bagi program itu adalah badan kerajaan, agensi swasta dan kumpulan individu terutamanya pelanggan DBP dan Bank Islam.

Turut hadir, pendakwah bebas, Ustaz Don Daniyal, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor, Anuar Hamzah Tohar dan Pengurus Cawangan Bank Islam KL Sentral, Mohd Munif Yahaya.

Pelaksanaan program yang sudah bermula hari ini bertempat di cawangan Bank Islam seluruh negara, kedai buku DBP dan jualan bergerak Ujana Buku sehingga 30 Jun 2017 iaitu selama enam bulan lima hari.

Jumlah wang yang diwakafkan akan dikumpul dan ditukarkan kepada bentuk buku serta kitab yang akan diagihkan kepada lima Maahad Tahfiz yang akan dimanfaatkan oleh pelajar di situ.

Orang ramai boleh mewakaf melalui laman sesawang http://dbpniaga.my atau membuat pembayaran di mesin deposit tunai Bank Islam ke akaun Dewan Bahasa dan Pustaka (wakaf) dengan nombor akaun 14023010048807.

Disiarkan pada: December 28, 2016 @ 6:58am
d